Penyerang berbisa Jordan iaitu Ali Olwan secara rasminya diperkenalkan oleh Selangor selaku penyerang import terbaharu mereka bagi mengharungi saingan musim 2024/2025 di pentas domestik serta AFC Champions League 2 (ACL2).
Perkongsian itu didedahkan sendiri menerusi media Shams Sport yang menyatakan Ali kini sudah pun dimiliki Selangor untuk memperkukuhkan aspek serangan.
Ianya agak menarik untuk diperkatakan kerana media Selangor ketika ini masih lagi belum mendedahkan secara rasmi akan kehadiran pemain tersebut.
Malah, Ali juga dilaporkan sudah pun tiba di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan dijangka bakal diumumkan secara rasmi juga sebentar nanti.
Kehadiran Ali menyaksikan kini The Red Giants sudah pun memiliki tiga penyerang import berkualiti selain Reziq Banihani serta pemain kebangsaan Chile, Ronnie Fernandez.
Ali boleh dianggap sebagai salah satu aset terbaik buat Selangor pada masa hadapan menerusi kualiti, pengalaman, serta kelebihan beraksi di beberapa posisi serangan.
Kemampuan Ali yang boleh beraksi di tiga posisi serangan iaitu sayap kiri, sayap kanan, serta penyerang utama sudah tentu akan digunakan sebaik mungkin oleh Nidzam Jamil bagi aksi mendatang.
Rekod lalu menyaksikan pemain berusia 24 tahun ini sudah pun mewakili tiga kelab berbeza dengan beraksi sebanyak 53 perlawanan secara keseluruhan.
Menerusi perkongsian Transfermarkt, Ali sudah pun meledak sembilan gol serta merekodkan 10 bantuan jaringan secara keseluruhan sebelum dirinya menyertai Selangor.
Pada aksi Piala Asia 2023 lalu di Qatar, Ali memainkan peranan cukup penting buat posisi sayap kiri Jordan menerusi kelincahan dan kreativiti dimilikinya di atas padang.
Lebih menarik, pemain berketinggian 1.82 meter ini juga meledak empat gol bersama satu bantuan jaringan bagi siri Kelayakan Piala Dunia lalu di peringkat Kumpulan G.
Selepas segelintir penyokong Selangor kelihatan sedikit kecewa akan kualiti ditampilkan oleh Ronie di posisi hadapan kelab, sudah tentu pengharapan terbaharu bakal diletakkan kepada Ali.
Pengalaman luas dimiliki Ali juga sudah tentu ditagih untuk membantu Selangor yang akan menjadi wakil Malaysia di pentas ACL2 tidak lama sahaja lagi.