Bintang baharu Selangor iaitu Ali Olwan antara pemain tumpuan utama yang sudah tentu akan menjadi pertaruhan penting buat Nidzam Jamil bagi aksi AFC Champions League Two (ACL 2) hari ini berdepan cabaran Muangthong United.
Bakal beraksi bertemu salah satu gergasi Thailand pada hari ini, sudah tentu Selangor enggan memulakan saingan pertama mereka di pentas Asia bersama langkah kiri dengan persiapan-persiapan penting semestinya sudah direncanakan oleh Nidzam.
Sejak awal musim lagi Selangor menjadi antara kelab yang begitu aktif menandatangani khidmat pemain-pemain baharu khususnya untuk kuota import sebagai persediaan terbaik ke pentas Asia.
Pemain yang ditandatangani juga hadir dengan reputasi cukup tinggi seperti Umar Eshmurodov, Alvin Fortes, Ronnie Fernandez, serta Ali Olwan yang merupakan penyerang berbisa kebangsaan Jordan.
Malah, pasukan itu turut bertindak untuk mengekalkan khidmat Yohandry Orozco, Safuwan Baharudin serta Noor Al-Rawabdeh yang tampil begitu cemerlang buat The Red Giants pada saingan lalu.
Bagi memperkukuhkan jentera tengah, Nidzam turut menandatangani khidmat Nooa Laine secara pinjaman bagi menggantikan khidmat Brendan Gan yang menyertai Kuala Lumpur City (KL City).
Semua bentuk persediaan ini bukan hanya untuk tampil lebih baik di pentas domestik, sebaliknya mereka enggan diaibkan pada saingan Asia untuk musim ini selaku salah satu wakil Malaysia.
Walaupun begitu, segalanya akan terjawab pada aksi sulung hari ini membabitkan Selangor dan Muangthong United di Stadium Rajamangala, Bangkok, dalam usaha untuk mendapatkan keputusan positif.
Nidzam sendiri mengakui barisan pemainnya termasuk import tampil bersedia untuk mengharungi aksi pertama mereka di peringkat Kumpulan H.
“Ya kerana kita dibenarkan bermain dengan pemain import yang bukan seperti Liga Malaysia (Liga M) dan itu antaranya.
“Cabaran itu antara bagaimana kita nak letakkan pemain dan siapa yang harus dimainkan pada perlawanan dengan Muangthong nanti,” kata beliau menerusi perkongsian Harian Metro.
Antara pertaruhan utama pada aksi hari ini pastinya membabitkan Ali Olwan yang sudah pun membuka akaun jaringan bersama Selangor ketika mereka menghadapi cabaran Kuching City lalu dan sah diletakkan dalam kesebelasan utama.
Memiliki reputasi serta pengalaman cukup luas di pentas antarabangsa, sudah tentu kualiti pemain ini ditagih Nidzam untuk memastikan jentera serangan The Red Giants mampu mengatasi cabaran besar Muangthong United.
Pada masa sama, Nidzam turut berharap supaya barisan pemain mampu mempamerkan aksi berkualiti pada hari ini meskipun mereka masih baru di saingan Asia.
“Saya tak kata saya tak nak kita yakin, tapi ini adalah pengalaman pertama kita selepas tujuh ke lapan tahun di luar Asia.
“Sudah tentu kemenangan (dalam aksi Liga Super ke atas Kuching City Jumaat lalu) membangkitkan motivasi, tetapi pentas sangat berbeza.
“Mereka (pasukan yang layak beraksi di ACL II) semua pasukan-pasukan elit di Asia dan kita kena harus tingkatkan banyak perkara untuk kita bersaing di pentas itu,” ulas beliau akhir sekali.