Terminologi false 9 atau 9 jadian ini pernah kami huraikan di dalam artikel lama kami yang mungkin anda boleh baca kembali untuk mengerti maksudnya lebih mendalam.
Sistem ini merujuk kepada penggunaan pemain bukan target man sebagai penyerang utama.
Ramai percaya sistem ini pada awalnya digunakan oleh pasukan kebangsaan Austria pada 1934, namun ketiadaan bukti video membuatkan amat sukar untuk penganalisis mengiktiraf hal itu dengan lebih kuat
Pada era total football, Johan Cruyff dan penyerang Hungary, Nandor Hidegkuti menunjukkan cara bermain sistem ini. Pada hari ini pemain terbaik dunia, Lionel Messi adalah raja kepada sistem ini.
9 Jadian Di EPL
Sebelum ini di EPL kita melihat Arsene Wenger pernah menggunakan Robin Van Persie yang merupakan penyerang sayap menjadi 9 jadian ini.
Namun atas sebab fizikal beliau yang memang jenis target man, pengulas mula membuang terma 9 jadian pada Van Persie dan menganggap beliau sebagai 9 tulen selepas itu.
Van Persie sendiri tidak bermobiliti tinggi setelah bermain di serangan. Dalam erti kata lain, Wenger menukar (convert) pemain penyerang sayap menjadi no.9 tulen sebenar.
Kes yang sama berlaku di Old Trafford apabila Alex Ferguson kerap menggunakan penyerang bayangan (shadow striker) sebagai penyerang utama. Wayne Rooney dan Tevez kerap menggalas tugas itu termasuk Ronaldo.
Trio Tevez-Rooney-Ronaldo pernah dianggap antara trio terbaik di dunia.
Ketika Brendan Rodgers kehilangan Luis Suarez dan juga krisis kecederaan Sturridge beliau pernah menjadikan Sterling sebagai 9 jadian.
Begitu juga di Everton, sebelum ini Naismith pernah memegang peranan ini di bawah kendalian Roberto Martinez.
Konsep Dan Kefahaman Taktikal Berpasukan
Sistem ini kerap menjadi pilihan kerana ia lebih mobiliti dan ada juga kerana pelan kecemasan.
Pemain yang menggalas tugas ini adalah penyerang kedua atau penyerang bayangan yang ada set skil yang baik serta boleh turun naik.
Namun begitu, ia memerlukan satu pasukan yang memahami bahawa mereka tidak memiliki pemain yang duduk di dalam kotak penalti sepanjang masa.
Kefahaman taktikal seperti ini yang akan mempengaruhi keupayaan sistem ini ‘melekat’ di dalam sistem mereka.
Liverpool Dan Arsenal 2016
Pada musim ini, kita dapat melihat 2 pasukan utama yang bergantung kepada sistem 9 jadian ini iaitu Arsenal dan Liverpool.
Klopp tidak bersembunyi bahawa Firmino sentiasa menjadi pilihan utama beliau sebagai penyerang utama.
Namun untuk Arsene Wenger, ramai pemerhati masih tertanya-tanya adakah beliau akan mengekalkan Alexis Sanchez dengan peranan ini selepas kembalinya Olivier Giroud.
2 pasukan ini menjadi sangat menarik untuk ditonton dengan sitem 9 jadian mereka. 47 gol telah dicetak oleh kedua-dua pasukan setakat ini dalam EPL, 23 oleh Arsenal dan 24 oleh Liverpool.
Kebanyakan perlawanan mereka adalah mennggunakan tiada penyerang tulen.
Ini menunjukkan 2 pasukan ini tetap produktif dengan sistem ini setakat ini. Hanya Manchester City (24) dan Spurs (21) yang turut menjaringkan lebih 20 gol selain Liverpool dan Arsenal setakat perlawanan ke-10.
Liverpool Dan Firmino
Firmino dikeliligi oleh pemain-pemain seperti Philippe Coutinho, Adam Lallana dan Sadio Mane. Ketika beliau turun ke bawah, biasanya Sadio Mane dan Lallana akan berada di hadapan beliau.
Masalah musim lalu yang jelas sudah diperbaiki Klopp. Musim lalu, apabila Firmino turun ke bawah untuk membantu pertahanan, Liverpool ada masalah dengan serangan balas.
Eksploitasi ruang oleh Liverpool sangat baik setakat ini dengan sistem yang lebih cair (fluid). Alan Pardew selepas perlawanan menentang Liverpool berkata:
“Firmino memainkan peranan itu (penyerang) dengan sangat bijak. Anda tidak tahu di mana dia akan berada, dan ia sangat jarang dilakukan penyerang utama.”
“Dia menarik pertahanan keluar, tiba-tiba muncul di bahagian tengah. Ketika dia berada bahagian tengah (lebih deep), ada pemain lain yang menggantikan dia di atas.”
“Dia seperti piston dalam enjin yang bekerja di dalam padang.”
Liverpool kelihatan tidak ada peranan khas kepada front 4 atau front 6 mereka musim ini.
Coutinho, Lallana dan Mane sering bertukar-tukar peranan dan cuba untuk cut inside dan masuk ke dalam kotak penalti. Kelebaran(width) pasukan akan dibekalkan oleh bek sisi iaitu, Milner dan Clyne.
Klopp mengulas tentang Firmino:
“Roberto seorang pemain yang sentiasa terlibat dalam serangan dan ketika bertahan. Dia sangat suka melakukan perkara-perkara seperti menekan (pressing), kerana ia salah satu kemahiran semula jadi beliau (Firmino adalah bekas pemain pertahanan).”
Ini adalah heatmap Firmino menentang Hull City yang jelas bukan pemain yang sesuai untuk pertahanan kenakan kawalan ketat dengan man to man marking. Peranan beliau benar-benar sebagai floating attacker.
Arsenal Dan Alexis Sanchez
Dari segi fluiditi, Arsenal memang terkenal dengan aspek ini sejak dari dulu. Wengerball?
Jadi tugasan Wenger mungkin lebih mudah berbanding Klopp untuk memasukkan pemain seperti Sanchez ke dalam sistem ini.
Baca juga: Bagaimana Arsenal Guna Sistem False 9 & Deep Lying Playmaker Dengan Alexis & Xhaka
Namun sebenarnya silap, Wenger mengakui dia sangat sukar memasukkan Sanchez ke dalam pasukan untuk bermain sistem 9 jadian ini.
Paling ketara pada awal musim ini, apabila ada Ozil beliau nampak menjadi, namun tanpa Ozil Sanchez nampak kurang efektif. Contoh yang jelas adalah pada perlawanan pertama menentang Liverpool.
Wenger mengakui dia memang merancang untuk menjadikan Sanchez sebagai penggempur utama sebelum ini. Ini kerana beliau gemar melihat penyerang yang bermobiliti tinggi dalam pasukan yang sedia ada.
Kemasukan Mesut Ozil dan peningkatan mendadak oleh Iwobi berjaya membantu Sanchez untuk mendapat rentak lebih awal. Dan kini, kami percaya Sanchez sudah boleh bermain tanpa Ozil dalam sistem ini.
Komen Wenger tentang Sanchez adalah:
“Saya pernah mencuba dia beberapa kali untuk bermain sistem ini sebelum ini, namun hasilnya tidak meyakinkan.”
“Pada masa itu saya terfikir sama ada saya buat keputusan yang salah dan harus berhenti; atau saya perlu yakin dia pemain yang betul dan perlu berikan dia lebih masa?”
“Dua perlawanan pertama musim ini saya tidak begitu yakin dan keliru. Tetapi selepas perlawanan demi perlawanan, dia semakin meningkat dan bermain lebih baik dalam sistem ini.”
Sanchez kerap turun ke zon 14 atau lebih ke bawah. Pada ketika ini gerakan dari arah lain di sekitar beliau akan digerakkan oleh Ozil, Alex Iwobi dan Theo Walcott/Alex Oxlade-Chamberlain.
Ketika pemain di sayap cuba masuk ke dalam, Sanchez akan mencari ruang tertentu untuk menerima bola atau untuk potensi memenangi bola kedua.
Ini adalah heatmap Sanchez ketika menentang Sunderland. Jelas sekali beliau berlegar di tengah terutama di zon 11 dan 14.
Kesimpulan
Jelas Wenger dan Klopp sudah mendapat formula terbaik untuk serangan mereka setakat ini. Kami rasakan Giroud dan Sturridge adalah pilihan kedua atau pelan kedua atau ketiga pasukan.
Daripada penjelasan Klopp dan Wenger, kita dapati, Klopp mengambil masa yang lama untuk membentuk pasukan. Ini kerana rata-rata pemain tidak begitu komprehensif dalam sistem ini sebelum ini.
Buktinya pada musim lalu, Firmino tidak mendapat sokongan sebaik pada hari ini dalam sistem ini.
Wenger pula mengambil masa yang agak lama untuk membentuk pemain kerana beliau memang ada pasukan yang boleh bermain sistem 9 jadian seperti Ozil (Jerman) dan graduan Arsenal sendiri.
Yang pasti adalah, membangunkan sistem ini dalam pasukan bukan sesuatu yang mudah kerana ia melibatkan 10 lagi pemain lain.
Selain Liverpool dan Arsenal 2 lagi pasukan yang kerap menggunakan sistem ini musim ini adalah Southampton, dengan Nathan Redmond dan West Ham menguji dengan Michail Antonio.
Baca juga : Pengenalan Kepada Taktik Licik “The False 9”