Alexandru Tudose: Menyertai Marcerra Merupakan Satu Malapetaka Dalam Karier Bolasepak Saya

Pemain import Marcerra Kuantan FA dan juga kapten pasukan itu, Alexandru Tudose menyifatkan pengalaman beraksi dengan pasukannya itu merupakan satu malapetaka sepanjang karier bola sepaknya.

Kegagalan pengurusan Marcerra menyelesaikan tunggakan gaji sehingga empat bulan dan mengabaikan kebajikan pemain dilihat sebagai satu tindakan yang tidak professional.

Beliau berkata demikian kepada Berita Harian dalam satu sidang media di Kelab Golf Universiti Putra Malaysia (UPM) semalam selepas mengambil kira cara mereka mengendalikan dan juga melayan pemain dan pegawai pasukan yang cuba menuntut hak mereka.

“Mereka tidak menghormati kami. Saya langsung tidak menerima sebarang wang ringgit sejak beraksi bersama pasukan ini. Kesabaran ada hadnya namun pengurusan tidak mahu bertemu untuk menjelaskan situasi yang sebenarnya.

“Sekurang-kurangnya kami boleh faham jika mereka dapat menyelesaikan gaji pemain tempatan terlebih dahulu dan selepas itu barulah gaji pemain import. Lebih mudah untuk membuat laporan kepada FIFA namun saya percaya kepada jurulatih, Ismail Zakaria yang berusaha keras berjuang untuk membantu kami.

“Saya tidak boleh mengheret sama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke FIFA kerana kesalahan satu pihak sahaja. Saya beraksi di sini jadi saya tahu tidak semua yang berperangai seperti pengurusan Marcerra,” katanya.

Sidang media bersama jurulatih pasukan, Ismail Zakaria. FOTO: PFAM

Kehadiran penaja baharu yang sudi menyambung hayat pasukan itu turut diambil secara berhati-hati kerana tidak mahu tragedi yang sama berulang kembali.

“Saya sudah berjumpa penaja dua hari lalu dan mereka nampak berbeza menerusi percakapan dan gaya mereka. Apapun, saya hanya akan percaya selepas perjanjian menjadi rasmi dan mereka mula membayar gaji kerana jika tidak, ia sama seperti sekarang,” katanya.

Pemain berpengalaman Marcerra Kuantan FA, Abdul Ghani Rahman mengakui tunggakan gaji selama empat bulan itu menjadi detik terburuk sepanjang kariernya selama 15 tahun bergelar pemain profesional.

“Kita juga menginjak era profesional jadi masalah ini tidak sepatutnya berlaku. Kita tidak menjangka perkara sebegini berlaku kerana pada mulanya, pengurusan Marcerra nampak meyakinkan namun sebaliknya yang berlaku.

“Masalah sebegini sememangnya dapat membunuh bakat pemain muda kerana mereka boleh pergi lebih jauh. Apapun, kemasukan penaja baharu ini akan menjadi perkembangan yang bagus walaupun kita perlu membina semula pasukan,” katanya.

Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Rezal Zambery Yahaya berkata pihaknya akan terus memperjuangkan untuk mendapatkan hak pemain Marcerra Kuantan FA meskipun pasukan itu bakal menerima penaja baharu bagi musim ini.

“Kes ini belum lagi dibawa ke Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) namun kita sudah menghantar surat makluman kepada pengurusan Marcerra berhubung masalah ini.

“Kita akan meneruskan usaha untuk menyelesaikan tuntutan ini walaupun penaja baharu akan masuk untuk membantu pasukan ini. Bagaimanapun, setakat ini tiada maklum balas daripada Marcerra,” katanya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN