Penyerang antarabangsa Serbia, Aleksandar Mitrovic sebenarnya dipinjamkan ke Fulham dari Newcastle United pada musim lalu. Sepanjang beraksi bersama kelab London ini, Aleksandar telah menjaringkan 12 gol untuk Cottagers.
Gol-gol jaringan beliau ini menjadi detik penting untuk membantu Fulham mara ke zon play-off EFL Championship pada musim lalu.
Akhirnya, kelab digelar Cottagers ini kembali semula ke persada liga tertinggi Inggeris ini.
Kembali
Menurut sumber dari BBC, Fulham diberitakan telah membayar £22 juta untuk pemain ini. Berkemungkinan yuran itu akan meningkat kepada £27 juta.
Pemain yang digelar Mitro di kalangan penyokong kelab telah diberikan jersi bernombor 9. Aleksandar juga memberitahu bahawa beliau sangat gembira dan bangga kembali ke London untuk bermain bersama Fulham.
Salah satu faktor penyerang ini bersetuju untuk bersama Fulham ialah kerana mereka mempunyai penyokong yang fantastik.
Sebelum ini, Aleksandar dipinjamkan ke Fulham pada beberapa jam sebelum bursa perpindahan Januari 2018 ditutup. Fulham benar-benar memanfaatkan pinjaman ini.
Dek kecemerlangan di saingan domestik, jurulatih Serbia memanggil beliau untuk menjadi anggota skuad bagi Piala Dunia 2018 yang lalu. Beliau telah menjaringkan 1 gol untuk Serbia semasa tewas kepada Switzerland dalam perlawanan Kumpulan E.
Borong sakan
Beberapa hari yang lalu, Fulham turut mendapatkan Andre Schurrle secara pinjaman dari kelab Jerman, Borussia Dortmund. Andre pernah beraksi sebelum ini bersama kelab seteru Fulham, Chelsea.
Cottagers turut dilaporkan berusaha untuk mendapatkan pemain Swansea, Alfie Mawson. Swansea telah bersetuju dengan yuran perpindahan kira-kira £20 juta untuk pertahanan dari England itu.
Fulham benar-benar ingin menjadi kelab yang serius untuk bertanding di Premier League pada musim ini. Pelaburan musim ini akan dianggap berbaloi sekiranya Fulham dapat kekal dalam saingan liga terkenal dunia ini.