Alasan Mengapa Andy Carroll Memakai Jersi Nombor 2 Bersama Reading

Keputusan Andy Carroll memilih untuk memakai jersi nombor dua bersama kelab dari saingan Championship, Reading sepertinya telah mengundang perdebatan hangat para peminat di media sosial.

Peminat mula sedar yang Andy Carroll memaki jersi nombor dua ketika beliau turun beraksi bertemu Manchester United dalam saingan FA Cup awal pagi tadi.

Agak jarang untuk seorang pemain penyerang utama memakai nombor tersebut dan kerana itulah ia menjadi topik perbualan hangat para peminat di media sosial.

Bekas bintang Liverpool itu telah menandatangani perjanjian jangka masa pendek bersama Reading pada jendela perpindahan musim panas yang lalu.

Sebelum menandatangani kontrak, Carroll telah diminta untuk memilih empat nombor yang masih kosong untuk beliau pakai ketika beraksi bersama kelab.

Empat nombor yang tersedia untuk beliau pilih pada ketika itu adalah nombor 2, 20, 26 dan 27.

Agak mengejutkan juga untuk melihat beliau memilih nombor 2 kerana nombor tersebut kebiasaannya dipakai oleh pemain pertahanan, namun ada sebab tertentu yang menyebabkan Carroll memilih nombor tersebut.

Pemain berusia 34 tahun itu memilih nombor 2 kerana beliau memenuhi permintaan anak perempuannya yang mahukan beliau memakai nombor tersebut walau beliau bermain di posisi pertahanan.

Reading sendiri pernah menjelaskan tentang mengapa boleh terjadinya Carroll memakai nombor 2 dengan segalanya bermula dari perbualan di Whatsapp.

“Andy, kami mahu nombor skuad untuk kamu.”

Tulis Reading kepada Carroll menerusi Whatsapp.

“Lucas (Joao) memakai nombor 9 tahun ini, maaf. 2, 20, 26, 27, beritahu saya secepat mungkin, jika tidak Amadou (Mbengue) akan ambil dahulu nombor ini dari kamu.”

Carroll kemudian membalas dengan menyatakan:

“Boleh tak saya beritahu kamu selepas satu jam? Anak-anak berada di Sekolah, mereka akan pilih selepas saya pergi jemput mereka. Mereka tentu gembira lakukan itu.”

Reading kemudiannya membalas:

“Boleh, tiada masalah.”

Carroll kemudiannya memaklumkan kepada Reading yang beliau mahukan jersi nombor 2 sebelum kelab bertanya semula adakah beliau pasti dengan jawapannya itu.

Bekas bintang Newcastle United itu kemudiannya menjawab:

“Hari ini merupakan ulang tahun kedua anak perempuan saya jadi mereka pilih nombor itu.”

Selepas beberapa bulan bersama kelab, bekas bintang England itu akhirnya ditawarkan kontrak baru selama 18 bulan bersama Reading dan beliau kini merupakan antara pemain terpenting kelab.

Leave a Reply