Legenda Newcastle United, Alan Shearer ternyata kecewa dengan situasi yang menimpa Rafa Benitez. Ini selepas Newcastle mengumumkan bahawa pengurus tersebut akan meninggalkan pasukan selepas kontrak berakhir pada 30 Jun 2019.
Dalam kenyataan rasmi kelab, Newcastle berkata: “Kami sudah sedaya upaya cuba untuk melanjutkan kontrak Rafa dalam beberapa tempoh masa ini, namun ianya gagal dan mustahil untuk mencapai kesepakatan dengan wakil Rafa.”
Rafa Benitez juga dikatakan tidak dimaklumkan awal. Sebaliknya hanya mendapat tahu akan perkara itu selepas pengumuman rasmi kelab menerusi laman sesawang mereka.
Rafa Benitez dilaporkan sudah tahu bahawa kelab akan mengumumkan perkara itu tanpa memberitahu beliau terlebih dahulu. Tetapi beliau tetap tenang dan tidak melatah.
Rafa not actually told that the statement was going out by #nufc today. An exchange of emails was last contact between parties. First @rafabenitezweb and team knew about todays statement was a good friend ringing them to tell them it was on sky. Classy Very classy👏🏻
— Steve Wraith (@stevewraith) June 24, 2019
Hubungan Rafa Benitez dan Mike Ashley dilaporkan tidak begitu baik selepas Rafa gagal mendapatkan dana perpindahan yang dimahukan.
Seterusnya, Rafa Benitez dikatakan seringkali membantah beberapa dasar Mike Ashley yang mengarahkan beberapa pemain untuk dijual. Ini kerana Rafa Benitez mahukan jaminan beliau mendapat pemain baharu. Kesannya, beberapa pemain tidak mahu melanjutkan kontrak kerana mendengar desas-desus mereka mahu dijual.
Alan Shearer menganggap pihak pengurusan Newcastle telah bersikap biadap ke atas pengurus yang terus kekal bersama mereka ketika kelab itu tersingkir. Rafa kemudian membantu Newcastle kembali semula ke EPL.
Walaupun dana perpindahan yang terhad, Rafa tetap membantu Newcastle menamatkan saingan liga di tangga ke-13 pada musim lalu, dengan kualiti pasukan yang dianggap agak kecil.
Lantas, Alan Shearer melabel segalanya serba tidak kena di Newcastle buat masa ini. Shearer juga menganggap layanan kelab kepada Rafa Benitez sebagai satu penghinaan kepada penyokong.
Ini kerana penyokong Newcastle mengharapkan cara yang lebih baik oleh Newcastle dalam melayan pengurus seperti Rafa Benitez.
Shearer berkata kepada wartawan: “Apa sebenarnya yang sudah berlaku di Newcastle United? Kelihatan seperti sangat bermasalah dan kurangnya komunikasi sangat memalukan.”
Seterusnya Alan Shearer mengkritik pengurusan tertinggi pasukan yang kelihatan seperti mempermaikan para penyokong Newcastle. Mereka bukan sahaja lambat dalam mengumumkan pemergian Rafa, tetapi seperti sedang memanipulasi media dengan cerita pengambilahan kelab.
Dengan itu, para penyokong kelihatan agak teruja dan sanggup menerima kenaikan harga tiket. Namun sehingga hari ini, tiada perkembangan lagi tentang pengambilalihan kelab. Yang ada hanyalah cerita Rafa Benitez dipecat.
“Pengurus berkelas dunia kini meninggalkan kelab dalam seminggu lagi dalam keadaan tidak bermakna.”
“Namun inilah satu-satunya kenyataan rasmi yang dibuat oleh laman rasmi kelab pada musim panas kali ini.”
“Mereka sudah menaikkan harga tiket 5% dan memperkenalkan jersi baharu.”
“Kenapa tiada seorang pun memberikan komen tentang situasi sebenar pengambilalihan seperti yang digembar-gemburkan – daripada hanya berkata ‘tiada komen’. Di mana rasa hormat kepada ribuan penyokong yang setia?”
“Para penyokong sudah ada di sini lebih lama daripada Mike Ashley, dan akan terus kekal lebih lama bersama kela selepas Mike Ashley pergi [suatu hari nanti]. Mereka sepatutnya menerima layanan lebih baik daripada kelab kerana mereka adalah penyokong terbaik di negara ini.”
Menerusi ciapan tweet beliau, Shearer turut meluahkan rasa kecewa beliau dengan cara Rafa ditamatkan perkhidmatan.
“Pengurus berkelas dunia. Pengurus yang melakukan tugas dengan sangat baik dalam keadaan yang sangat sukar. Pengurus yang memahami penyokong. Terima kasih dan selamat maju jaya Rafa Benitez. Anda telah melakukan tugas dengan hebat sekali untuk Toon.”
A world class manager. A manager who performed so well in very difficult circumstances. A manager who understood the fans. Thanks and good luck @rafabenitezweb you were brilliant for the Toon. #SHAMBLES
— Alan Shearer (@alanshearer) June 24, 2019
Shearer meletakkan tanda pagar #SHAMBLES ataupun tidak terurus – ditujukan kepada pengurusa tertinggi Newcastle.