Kelab Saudi Pro League, Al-Hilal dilaporkan telah menawarkan bintang Argentina, Lionel Messi dengan kontrak mewah bernilai £350 juta (RM1.9 bilion) setahun.
Jumlah tersebut adalah dua kali ganda daripada nilai £177 juta (RM977 juta) yang dibayar Al-Nassr kepada Cristiano Ronaldo ketika ini.
Sekiranya Messi bersetuju menerima tawaran Al Hilal, ia merupakan satu lagi lonjakan besar buat arena bola sepak Saudi.
Kelab Arab Saudi itu adalah musuh ketat kelab Ronaldo, Al Nassr dengan kedua-duanya terbabit dengan ‘derby’ Riyadh setiap tahun.
Ia juga bakal menjadi pertembungan pertama kedua-dua pemain tersebut sejak 2018, dalam liga yang sama setelah Ronaldo meninggalkan Real Madrid untuk beraksi bagi Juventus.
Tawaran kontrak itu juga yang terbesar dalam kerjayanya jika Messi mengambil keputusan untuk meninggalkan PSG pada akhir musim ini.
Selepas kempen Piala Dunia yang lalu Messi memberi indikasi bersetuju untuk kekal bersama PSG apabila kontraknya tamat pada musim panas ini.
Namun selepas PSG terus gagal pergi jauh di pertandingan Champions League, ia seolah-olah telah mengubah pendiriannya.
Dengan kontrak semasa Messi bersama Paris Saint-Germain akan berakhir pada Jun, pemenang Piala Dunia 2022 itu sememangnya dijangka bakal meninggalkan ibu kota Perancis tersebut dengan jalan pulang ke Barcelona dikatakan menjadi salah satu destinasi pilihannya.
Bagaimanapun, hasrat The Blaugarana itu mungkin terhalang oleh peraturan kewangan Financial Fair Play (FFP).
Walaupun PSG dikatakan mahu mengekalkan bintang utamanya itu di Parc de Princes, tetapi sejak minggu lalu, Messi menerima kritikan daripada penyokong Les Parisiens sewaktu kekalahan kepada Lyon tempoh hari.