Dua jaringan sendiri yang terhasil oleh Manchester United dalam aksi bertemu Sevilla telah meranapkan impian kelab itu untuk membawa bekalan selesa ke Sepanyol pada perlawanan suku akhir kedua Europa League (UEL).
Lebih malang, kedua-dua gol tersebut terhasil pada minit-minit akhir permainan. Lebih perit, gol sendiri kedua yang dihasilkan mereka terjadi benar-benar ketika kemenangan hampir menjadi milik United.
Gol sendiri daripada Tyrell Malacia dan Harry Maguire telah membuatkan United kini harus berjuang berhabis-habisan di Sepanyol untuk aksi kedua.
Bagi pengendali United, Erik ten Hag, kekalahan ini merupakan perkara yang amat malang buat United.
Bukan setakat kerana dua jaringan sendiri tetapi akibat kecederaan yang melanda Lisandro Martinez membuatkan United semakin tertekan.
“Ada beberapa detik yang tidak bernasib baik berlaku, kecederaan. Kami terpaksa melakukan pertukaran akibat kecederaan seperti Raphael Varane ketika separuh masa dan Anthony Martial.
“Kami terpaksa melakukan beberapa pertukaran dan kemudiannya hilang kawalan ketika kejadian malang yang pertama [gol sendiri Malacia].
“Satu lagi perkara malang adalah berkaitan Lisandro Martinez. Kami bermain dengan 10 pemain dan memboloskan dua gol. Ianya amat malang dan kami perlu mengharungi perkara tersebut,” kata Ten Hag.
United menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Martinez mengalami kecederaan lantas terpaksa dikeluarkan.
Dengan ketiadaan Varane dan Martinez, United perlu mengharapkan Maguire dan Victor Lindelof di pertahanan tengah sementara tugas semakin sukar selepas Bruno Fernandes juga digantung untuk aksi kedua kelak.
Ten Hag perlu menghasilkan idea yang bernas untuk menghadapi aksi kedua kerana bertemu Sevilla di laman mereka bukanlah satu tugas yang mudah.