Skuad bawah 19 tahun negara mendapat pendedahan yang berguna sepanjang berkampung hampir seminggu di Oman sebagai persiapan untuk menghadapi Kejohanan AFC Bawah 19 Tahun di Indonesia bulan Oktober depan.
Selepas mengharungi 3 aksi persahabatan berdepan kelab divisyen satu Liga Oman, anak buah Bojan Hodak itu dilihat sudah memahami corak permainan pasukan dari negara Arab yang mengamalkan gaya permainan pantas.
Bercakap kepada Berita Harian, Hodak mengakui pendedahan di Oman itu kerana Malaysia bakal menentang pasukan pilihan, Arab Saudi yang diundi bersama dalam Kumpulan D selain Tajikistan serta China.
“Seperti yang saya pernah katakan sebelum ini, berdasarkan kedudukan ranking AFC, kita adalah pasukan paling bawah dalam kumpulan.
“Namun, dengan persiapan awal yang kita lakukan, saya percaya bukan mudah untuk mereka mengatasi kita apabila kejohanan itu bermula nanti.
“Malah, keyakinan saya makin bertambah apabila melihat persembahan positif pasukan di sini (Oman) dan percaya pemain sudah bersedia untuk melakar kejutan ke atas dua pasukan Arab serta China,” katanya.
Pada tiga aksi itu, pasukan negara tumbang di tangan Al Suwaiq FC dengan 0-4 sebelum bangkit dalam aksi kedua apabila menewaskan Oman Club 2-0.
Bagaimanapun, rentak itu gagal dipertahankan pada aksi terakhir apabila tumpas 0-1 kepada Muscat Club yang berlangsung semalam.
“Aksi pertama lawan cukup kuat. Pada aksi kedua pula, kedua-dua pasukan memberi tentangan sengit namun kita lebih bernasib baik. Dalam perlawanan ketiga, ia berlangsung 50-50 dan patutnya berakhir dengan 0-0,” katanya.
Pasukan negara bawah 19 tahun negara pernah mencatat keputusan baik dalam kejohanan AFC B-19 dengan tiga kali muncul naib juara kejohanan iaitu pada 1959, 1960 dan 1968.