Quantcast

LIGA MALAYSIA

Aksi Cemerlang Fakhrul Zaman Bersama Kelantan United Tarik Minat Pasukan Liga Super

Penyerang Kelantan United FC, Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi, mengakui sudah menerima beberapa tawaran pasukan ternama pada musim depan selepas memperagakan prestasi cemerlang pada pentas Liga M3, musim ini melalui ledakan 27 gol dalam 25 perlawanan.

Pemain berusia 25 tahun itu bagaimanapun masih mempertimbangkan pilihan yang ada selain mengakui hatinya masih berat meninggalkan Kelantan United yang telah menjadi platform buat dia melonjakkan kembali kariernya di peta bola sepak tempatan.

Namun, anak jati Kota Bharu ini mengakui mahu merebut peluang beraksi di pentas tertinggi sebagai keutamaan sebelum membuat sebarang keputusan.

“Setakat ini, saya jujur akui memang ada (tawaran) beberapa pasukan, daripada Liga Super ada, Liga Premier pun ada, buat masa ini saya belum boleh kata apa-apa lagi.

“Kalau ikutkan hati, saya memang sayang pasukan ini sebab dah main lama dengan kawan-kawan semua sejak dari Kelantan lagi tetapi jika ia baik untuk karier saya, saya akan buat keputusan (berhijrah pasukan baharu).

“ Dalam pada itu, saya mahu tengok juga macam mana persiapan pasukan (Kelantan United) musim depan sebelum membuat sebarang keputusan, “ katanya yang ditemui baru-baru ini.

Fakhrul pernah menyarung jersi Kelantan pada 2016 hingga 2018 selain pernah dipinjamkan ke MIFA pada pertengahan musim 2017 tetapi prestasinya agak tenggelam selain kurang diberi peluang untuk bermain.

Namun, kehadiran Kelantan United di pentas Liga M3 dilihat menjadi penyelamat kerjaya Fakhrul apabila namanya mula meniti di bibir peminat Kelantan melalui gandingan hebatnya bersama penyerang import dari Gambia, Gassama Alfusainey.

Justeru, dia berasa terharu serta terhutang budi kepada jurulatih, Zahasmi Ismail serta pengurusan Kelantan United yang bertanggungjawab memberi nafas baharu dalam kariernya.

“Alhamdulillah saya dapat balik prestasi saya, dalam masa dua tiga tahun sebelum ini agak tenggelam, jadi mungkin tahun ni rezeki saya dapat jadi penyerang terbaik dan dapat ikut semula rentak permainan.

“Saya mahu ucapkan terima kasih kepada jurulatih Zahasmi sebab beri kepercayaan kepada saya bermain dari awal musim hingga akhir, dan saya dapat balas balik apa yang dia mahukan.

“Kehadiran Gassama juga banyak membantu saya untuk meneruskan usaha sehingga berjaya menjaringkan sebanyak 27 gol ketika ini selain memberikan kejuaraan sulung Liga M3, ” katanya.

Sebelum ini pemain Liga M3, Nabil Ahmad Latpi dari Ultimate FC turut menarik perhatian pasukan Liga Super, Terengganu FC apabila bekas jurulatih, Irfan Bakti menandatangani khidmat bekas PDRM itu pada pertengahan musim.