Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan, membayangkan bekas penyerang FELCRA FC dan juga penjaring terbanyak Liga Premier 2018, Anselmo Arruda Da Silva, atau lebih dikenali sebagai Casagrande kemungkinan akan menyarung jersi pasukan itu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini.
Casagrande mempamerkan persembahan memikat ketika diturunkan dalam perlawanan persahabatan menentang kelab dari Singapura, Warriors FC minggu lalu dan meledak dua gol untuk membantu Melaka mencatat kemenangan 5-1.
Kelmarin, beliau turut mempamerkan bisanya apabila menjaringkan satu gol ke atas kelab Vietnam, Becamex Binh Duong dalam aksi jelajah pra musim di sana.
Zainal mengakui berpuas hati dengan persembahan Casagrande yang menunjukkan keserasian bersama rakan sepasukan biarpun baru menyertai latihan pasukan itu minggu lepas.
“Dia memang tidak asing di Malaysia. Saya lihat walaupun dia baru beberapa hari menjalani latihan bersama Melaka, dia cepat menyesuaikan diri dan semalam menunjukkan aksi yang baik. Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan persembahannya,” katanya.
Skuad Melaka United seri 3-3 dengan Becamex Binh Duong kelmarin sebelum tewas 1-3 kepada satu lagi kelab Vietnam, Ho Chi Minh City. Mengulas mengenai prestasi pemainnya, Zainal menyifatkan pemainnya menunjukkan peningkatan dan masih banyak yang perlu diperbaiki.
“Satu peningkatan lagi telah ditunjukkan oleh pemain-pemain kita, walaupun keputusan seri 3-3 setelah mendahului 3-1, tetapi selepas 70 ke 80 minit kita telah mencorakkan permainan seperti mana yang kita mahu, yang kita atur dan ia berjalan lancar, dengan itu saya harap prestasi ini dikekalkan, cuma apa yang perlu kita buat ialah memperbaiki kesilapan-kesilapan di saat-saat akhir.
“Perlawanan menentang Ho Chi Minh City FC semalam ada sedikit perubahan dalam kesebelasan utama, kita ingin melihat lebih banyak aksi pemain-pemain lain dan saya harap mereka dapat kekalkan prestasi, yang penting kita punya sasaran sebagai satu pasukan untuk menjalankan tugas masing-masing yang sama dengan pemain-pemain yang lain.
“Dan hari ini adalah peluang terbaik untuk pemain-pemain yang diturunkan untuk membentuk satu pasukan yang mempunyai kehendak yang sama dan azam yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di laman facebook rasmi Melaka United.