Aksi pertahanan Manchester United iaitu Alejandro Garnacho antara mencuri tumpuan ketika beliau terlibat dalam perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Indonesia di Jakarta.
Apa tidaknya, ini merupakan perlawanan kedua beliau mencipta penampilan untuk skuad senior selepas diberi peluang kali pertama ketika aksi menentang Australia di China.
Pada aksi terbaharu, Garnacho sekali lagi terpilih untuk beraksi sebagai pemain gantian dengan berjaya membantu Argentina memperoleh kemenangan kedua mereka menerusi keputusan penuh 2-0.
Timnas Indonesia harus mengakui keunggulan Argentina dengan skor akhir 0-2.
Sebuah pengalaman luar biasa. Terus berkembang, Garuda! 🦅🇮🇩#KitaGaruda #GarudaMendunia #TimnasDay pic.twitter.com/GP3eRdOD67
— PSSI (@PSSI) June 19, 2023
Walaupun Indonesia mengamalkan corak permainan bertahan dengan begitu berdisiplin, pelawat berjaya mempamerkan taring mereka tersendiri menerusi dua gol diledak oleh Leandro Paredes serta Cristian Romero.
Ramai memberi harapan tentang kelibat pemain muda United iaitu Garnacho bakal memberi impak positif untuk membantu serangan Argentina bagi mendapatkan gol.
Namun, ianya tidak semudah yang disangkakan buat Garnacho untuk penampilan kedua ini selepas setiap gerakan cuba dicipta pemain itu berjaya dipatahkan dengan baik oleh pertahanan Indonesia, Asnawi Mangkualam.
Asnawi boleh dianggap sebagai pemain paling menonjol buat Indonesia pada perlawanan tersebut, setelah kecekapan beliau berjaya menyekat kemaraan Garnacho untuk pergi menghampiri gawang gol tuan rumah.
Pertembungan membabitkan Garnacho bersama Asnawi menjadi bualan ramai penyokong di media sosial, selepas beberapa kali kedua bintang ini bertembung di atas padang untuk memenangi bola.
Asnawi yang beraksi sejak awal wisel permainan ditiupkan, tampil tidak menghadapi begitu banyak masalah untuk mengatasi Garnacho di separuh masa kedua permainan.
Momen Asnawi Mangkualam Bahar vs Alejandro Garnacho.🧱🇮🇩 pic.twitter.com/ZwskjWrtws
— FaktaBola (@FaktaSepakbola) June 19, 2023
Sekurangnya, lebih lima kali pertembungan individu membabitkan kedua pemain berkenaan yang tampil bersungguh-sungguh untuk mengatasi antara satu sama lain.
Malah, ada beberapa situasi bentesan keras turut dibuat oleh Asnawi untuk mematikan pergerakan yang cuba dibina oleh bintang muda United itu di atas padang.
Namun, atas dasar profesionalisme kedua pemain ini langsung tidak berbalah dan kekal fokus dalam perlawanan dengan misi tersendiri untuk saling bersaing mendapatkan bola.
Asnawi boleh dianggap sebagai salah satu pemain terbaik era kini dalam bola sepak Indonesia, dan bakat beliau bukan sahaja diakui untuk skuad kebangsaan, malah beliau juga sangat menonjol di Korea Selatan bersama Jeonnam Dragons.
Indonesia mungkin tewas pada perlawanan ini, namun ia merupakan satu pengalaman berharga yang tidak akan dilupakan oleh pemain Sang Garuda yang berjaya mengetepikan pandangan ramai mereka akan tewas besar kepada Argentina.
Buktinya, Asnawi sendiri menunjukkan kepada orang ramai pemain Asia Tenggara seperti beliau juga mampu menyaingi bintang Eropah seperti Garnacho.