Pengurus Chelsea, Frank Lampard jelas berpuas hati dengan impak yang ditunjukkan rekrut terbaharu, Timo Werner pada aksi sulung Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu Brighton, awal pagi.
Chelsea memulakan kempen 2020/21 dengan langkah kemenangan selepas berjaya menundukkan skuad bimbingan Graham Potter itu dengan keputusan 3-1 hasil jaringan Jorginho, Reece James dan Kurt Zouma.
Meskipun tidak berjaya meledakkan jaringan pada penampilan sulungnya [dalam EPL] itu, Werner tetap mencuri tumpuan Lampard dan juga para peminat Chelsea dengan aksi menarik dipamerkannya.
Werner tidak hanya statik di bahagian atas untuk menerima bola dari rakan sepasukannya tetapi beliau menunjukkan dirinya sebagai seorang pemain yang begitu mobil dalam membantu jentera tengah.
Larian deras dimilikinya juga dilihat amat berbahaya buat pasukan lawan dalam situasi Chelsea melakukan serangan balas pantas.
Ia terbukti apabila kecuaian Steven Alzate digunakan sepenuhnya oleh Werner dengan kepantasannya sehingga menyebabkan penjaga gol, Matthew Ryan terpaksa mengasarinya dalam kawasan penalti untuk memberikan sepakan penalti buat Chelsea.
Sehubungan dengan itu, Lampard jelas gembira melihat apa yang telah dijelmakan oleh pemain skuad kebangsaan Jerman itu dan membiarkan Werner bermain sehingga wisel penamat walaupun beliau masih mempunyai Tammy Abraham dan Olivier Giroud di bangku simpanan.
”Dia benar-benar ‘lapar’ untuk menjaringkan gol dan menjadi amat ‘kejam’ di kawasan tersebut,” ujar Lampard menurut laporan Sky Sports.
”Tetapi, kesediaannya untuk turun ke bawah bagi membantu jentera tengah dan melebarkan ke bahagian sayap adalah satu perkara yang cukup menarik.”
”Saya suka cara Timo muncul di kawasan-kawasan yang berbeza. Dia bukannya pemain penyerang yang hanya ‘melekat’ bersama pertahanan tengah pasukan lawan. Dia kadangkala boleh bermula sedikit ke bawah, tetapi apabila dia bergerak, dia akan terus pergi [ke atas].”
Kredit featured image: Glyn Kirk/Pool via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Timo Werner: