Aksi Bertenaga Nabil Ahmad Latpi Bersama Ultimate FC Berjaya Curi Tumpuan Irfan Bakti

Nabil

Penyertaan lebih banyak pasukan amatur dalam kejohanan Shopee Piala FA 2019 telah memberikan impak besar apabila beberapa pemain dikhabarkan telah berjaya menarik perhatian beberapa kelab elit Liga Malaysia.

Nama Hariz Irffan Nazri menjadi bualan peminat bola sepak tempatan selepas menjaringkan gol menarik ketika membantu Jerantut FA menewaskan Johor Bahru FA 3-0 pada pusingan kedua Shopee Piala FA 2019.

Terbaharu, Terengganu FC (TFC) dikhabarkan telah bersedia untuk merisik Nabil Ahmad Latpi dari Ultimate FC sebaik jendela perpindahan pemain kedua yang bakal dibuka pada 2 Mei depan bagi memperkuatkan jentera serangan skuad Penyu.

Bagaimanapun, ketua jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim mendedahkan tiada perancangan setakat ini untuk mengadakan rundingan rasmi dengan Nabil.

Namun Irfan memuji persembahan cemerlang bekas pemain PDRM dan skuad Piala Emas Raja-Raja Kedah itu biarpun kelab amatur daripada Liga M3 tersebut tewas 0-5 kepada pasukan bimbingannya pada pusingan kedua Shopee Piala FA 2019.

Di sebalik kemenangan besar tersebut, Irfan lebih berminat untuk memuji pendekatan Malaysian Football League (MFL) yang memperkenalkan format Shopee Piala FA 2019 dengan kemasukan 38 pasukan amatur pada musim 2019.

Ini kerana pengendali kelahiran Perak itu percaya kemasukan pasukan amatur ini dalam kejohanan Shopee Piala FA 2019 memberikan pertumbuhan positif dan memberikan persaingan sihat dalam kalangan pemain tempatan.

Sebagai rekod, TFC meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga Shopee Piala FA 2019 dan diundi bertemu pasukan amatur, Kelantan United semalam.

“(Minat terhadap Nabil) oh tidak, kami sekadar berbual sahaja. Tiada apa-apa berlaku pun dan tiada rundingan dengan Ultimate FC bersama TFC.

“Bagaimanapun saya mahu memujinya (Nabil) kerana dia berjaya menarik perhatian saya. Secara peribadi, saya melihat dia seorang pemain yang bagus, laju dan memiliki potensi besar.

“Namun apa kita dapat lihat kejohanan Shopee Piala FA 2019, kita memiliki lebih banyak pasukan terutama pengenalan pasukan amatur. Ia sudah pasti memberikan satu persaingan sihat kepada pemain-pemain tempatan kita di mana saya percaya ini adalah medan terbaik buat pemain amatur menarik minat pasukan profesional.

“Ini adalah satu senario bagus buat bola sepak tempatan dan saya berharap akan lebih ramai pemain-pemain tempatan berkualiti tinggi terutama daripada pasukan amatur akan membuat penampilan pada Shopee Piala FA 2019 nanti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam perkembangan lain, pengurus Ultimate FC, Mohamad Fitri Ahmad Ziyadi lebih berminat mengambil pendekatan kunci mulut ketika ditanya mengenai perkembangan rundingan TFC terhadap Nabil.

Sebaliknya, Fitri mendedahkan Ultimate FC tidak memiliki masalah untuk melepaskan tonggak-tonggak utama mereka menyertai kelab profesional demi kebaikan karier pemain itu sendiri jika ada tawaran daripada kelab-kelab gergasi Liga Malaysia

“Penaung kelab Ultimate FC, Datuk Shamsudin Mat sentiasa menggalakkan pemain-pemain kami mengembangkan potensi mereka ke peringkat lebih tinggi.

“Jika pasukan dari Liga Super dan Liga Premier berminat dengan pemain kami, kami tiada masalah untuk melepaskan mereka kerana Ultimate FC sentiasa memikirkan kebaikan pemain-pemain kami,” ujarnya.

Kredit foto: Sportsmalaysia

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN