Selangor nampaknya kini dihujani dengan pelbagai perkara positif di pentas Liga Malaysia (Liga M) dengan terbaharu, mereka berjaya mengekalkan rentak kemenangan di laman sendiri iaitu Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Dalam aksi Liga Super terbaharu, skuad kendalian Nidzam Jamil berjaya mengetepikan pasukan lawan iaitu Kelantan Darul Naim (KDN) menerusi keputusan 2-0 bersama aksi cukup menyakinkan.
Sepanjang aksi berlangsung, dua gol Selangor berjaya diledak oleh penyerang import mereka dari Chile iaitu Ronnie Fernandez sekali gus menutup kritikan ramai akan kualiti ketajamannya.
Terdahulu, nama Ronnie antara yang menjadi kritikan sekelompok penyokong bola sepak The Red Giants selepas beliau dianggap sangat tumpul di hadapan gawang gol.
Selaku pengganti kepada bekas penjaring terbanyak musim lalu iaitu Ayron Del Valle, sememangnya harapan sangat tinggi diletakkan oleh penyokong buat Ronnie selaku mesin gol baharu Selangor.
Namun, beberapa aksi lalu menyaksikan beliau menghadapi kesukaran untuk menemui kualiti penyudah selain impak beliau di hadapan gawang gol juga sering diragui ramai.
Statistik terkini menyaksikan Ronnie mungkin boleh menarik sedikit nafas lega kerana kini beliau sudah meledak lima gol bersama satu bantuan jaringan daripada tujuh perlawanan Liga Super.
Selain itu, momen paling diingati pada perlawanan tersebut pastinya terarah kepada Faisal Halim yang dibawa masuk pada penghujung perlawanan serta memberikan impak cukup menyakinkan.
Tiada siapa menjangka beberapa bulan lalu pemain ini terlantar di hospital kerana kecederaan teruk dialami akibat disimbah asid oleh dua penjenayah kejam, sebelum kini kembali beraksi di atas padang.
Walaupun hanya beberapa minit sahaja dibawa masuk, impak diberikan oleh Faisal cukup besar sehingga dirinya hampir meledak satu gol bersama satu bantuan jaringan.
Ini menjadi aksi sulung buat Faisal sebenarnya di atas padang setelah namanya telah disenaraikan oleh Nidzam Jamil ketika perlawanan separuh akhir Piala FA lalu bertemu Terengganu.
Apa yang dilakukan oleh Nidzam kini dianggap cukup bagus walaupun sedikit berisiko kerana secara perlahan-lahan momentum penyerang Harimau Malaya itu kembali hadir.
Kami di Semuanya BOLA terus mendoakan supaya Faisal mampu kembali lebih hebat berbanding sebelum ini serta menjadi inspirasi buat para pemain lain.