Akram Mukhriz: Mimpi Jadi Kenyataan Dapat Sertai Pahang Rangers

Akram Mukhriz

Dapat bermain dengan pasukan bercita-cita tinggi dan dianggap antara paling berjaya adalah impian mana-mana pemain.

Ia akan bertambah manis jika bermain dalam satu pasukan sama dengan pemain yang menjadi idola atau pujaan.

Untuk merasai kedua-duanya, pastinya ibarat mimpi menjadi kenyataan dan itulah yang dialami pemain muda meningkat naik Pahang Rangers, Akram Mukhriz Muhamadiah.

Akram atau dikenali dengan panggilan Goblin dalam kalangan rakan sepasukan merupakan rekrut terbaru skuad Naib Juara Malaysian Premier Futsal League 2019 itu bagi musim 2020, dan lebih mengujakannya adalah apabila dapat ‘berlaga bahu’ dengan bintang pujaannya, Khairul Effendy Bahrin (Ayon).

Khairul Effendy diketahui sebagai pemain cukup berpengalaman luas, telah berada dalam arena futsal lebih dari sedekad dan merupakan kapten pasukan kebangsaan yang dikenali kerana disiplin, karisma, kaliber, atitud dan kualiti kepimpinan tinggi yang ada padanya.

“Hanya Allah yang tahu perasaan saya apabila diberitahu terpilih mewakili Pahang Rangers. Dari Johor saya datang mencuba nasib menyertai pemilihan bersama lebih seratus peserta bermula Disember 2019, berbekalkan impian dan keazaman mahu menjadi seorang pemain futsal.

“Jujur, saya memang letak harapan tinggi kerana saya percaya kepada diri saya, ini adalah pasukan yang mana-mana pemain mahu bermain, saya banyak dengar bagaimana YAM Tengku Fahd Mua’adzam Shah membawa transformasi hebat dan saya sangat teringin untuk menjadi sebahagian daripada mereka.

“Lebih-lebih lagi saya tahu idola saya Ayon bermain dengan pasukan ini, saya meminati dan mengikuti perkembangannya daripada dulu.

“Malah, ketika bermain di Liga Haram sekalipun sebelum game mesti saya tengok video Ayon dulu serba sedikit belajar untuk bermain sepertinya dan mengikut jejak langkahnya. Itu yang membuatkan semangat saya lagi membara,” kata Akram.

Menariknya, pemain berusia 18 tahun ini pantas memenangi kepercayaan ketua jurulatih Gerard Casas untuk diturunkan dalam aksi pertama MPFL 2020 menentang Sarawak dan menjaringkan satu gol dalam kemenangan 9-1 pada 14 Mac lalu.

“Saya terkejut apabila coach Gerard meminta saya untuk mengambil sepakan penalti itu berbanding pemain senior lain. Di situ saya nampak beliau meletakkan keyakinan ke atas saya dan gembira dapat skor gol pada penampilan sulung. Tetapi sayang liga terpaksa dibatalkan (kerana Covid-19),” ujarnya.

Menceritakan bagaimana boleh meminati dan berjinak dengan sukan futsal, Akram berkata dia belajar dari abang iparnya yang aktif bermain futsal sejak dari usia kecil.

“Bila dah besar sikit ayah minta fokus kepada bola padang, kerana skop lebih luas dan senang cari pasukan, senang pergi jauh. Tapi walaupun ketika main bola padang ada jugak main futsal Liga Haram, Tour Milo dari umur 12 sampai 16.

“Nak dijadikan cerita, masa umur 16, dekat sekolah sukan ada pemilihan SUKMA 2018 untuk pasukan Johor. Jadi dengan harapan besar saya pergi pemilihan tu walaupun cikgu-cikgu asrama tak bagi restu, tapi saya tetap berkeras keluar asrama dan pergi join pemilihan.

“Saya terpilih dalam senarai 20 terakhir untuk SUKMA dan berlatih lima bulan di bawah Coach Jojo (Ahmad Haniff Sarmin – bekas pemain Pahang Rangers). Coach Jojo yang banyak bagi pencerahan pasal futsal.

“Saya tidak terpilih di dalam senarai akhir 14 pemain SUKMA, dan pesan Coach Jojo masa tu, mungkin rezeki saya bukan dekat SUKMA, tapi ada yang lebih besar akan datang, dia positif saya akan menempa nama dalam futsal dan di sini saya berada sekarang,” ujar Akram Mukhriz lagi.

Kredit foto: Pahang Rangers FC

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN