Di saat Kedah kehilangan khidmat Liridon Krasniqi akibat kecederaan yang akan menyebabkan beliau bakal disisihkan untuk 3 perlawanan, ia mungkin satu rahmat buat pemain-pemain lain.
Ini kerana, ketika Liridon cergas dan tidak mengalami kecederaan, amat sukar untuk pemain lain untuk tersenarai di posisinya itu. Ia sesuatu yang mustahil untuk meminggirkannya.
Berbaki lima perlawanan untuk saingan unifi Liga Super 2018, Kedah kini sedang bersaing dengan beberapa pasukan antaranya Perak dan Pahang untuk kedudukan kedua terbaik.
Kedah akan beraksi dan cuba mendaki ke kedudukan kedua tanpa ‘Mat Don’ bermula dengan pertemuan menentang Melaka malam ini, JDT (13 Julai) dan Terengganu FC (17 Julai).
Pemain tengah skuad kebangsaan, Akram Mahinan ketika dihubungi Semuanya BOLA menyatakan memang sedikit sebanyak pasukan akan terasa kehilangan Liridon.
“Memang akan terasa kehilangannya tetapi Halim (Halim Saari) sudah kembali untuk mengisi tempat Liridon.
“Sebelum ini Halim sudah banyak kali menggantikan tempat Liridon, jadi saya rasa tiada masalah,” jelas pemain berusia 25 tahun itu mengenai pengganti Liridon.
Akram yang telah mendapat tempat dalam skuad utama sudah pasti akan beraksi dan dengan kembalinya Sandro daripada kecederaan, satu lagi posisi tengah menjadi rebutan.
Adik kepada pemain tengah, Fauzi Saari itu dikenali dengan hantaran-hantaran jauh yang baik dan mampu melepaskan bola kepada jentera serangan pada masa yang tepat.
Namun, pemain berusia 23 tahun itu boleh dikategorikan antara pemain yang rapuh dan mudah mengalami kecederaan. Mungkin disebabkan itu, jarang kita dapat melihat aksinya.
Selain Halim, terdapat juga kemungkinan untuk Baddrol Bakhtiar atau Amirul Hisyam Awang Kechik tersenarai di jentera tengah Helang Merah untuk pertemuan dengan Melaka malam ini.
“Halim dan Liridon. Lebih mudah untuk bermain hantaran-hantaran pendek (dengan mereka),” ujarnya mengenai pemain yang dia gemar untuk bergandingan di tengah.
“Bagi saya, saya dan rakan-rakan perlu lebih konsisten dalam setiap perlawanan. Jika kami konsisten, tiada yang mustahil,” jelasnya mengenai prestasi Kedah untuk mencabar kedudukan kedua liga.
Semuanya BOLA turut bertanyakan mengenai aksinya bersama skuad kebangsaan baru-baru ini ketika menentang Fiji. Itu merupakan kaps ke-8 Akram untuk skuad senior.
“Alhamdulillah, saya perlu kerja lebih keras untuk mendapat tempat dalam pasukan kebangsaan. Dan setiap peluang yang diberikan, saya guna sebaik mungkin,” ujarnya.
Akram yang pernah menjadi kapten Harimau Muda B itu boleh dianggap antara tonggak utama skuad kebangsaan yang baharu di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, Tan Cheng Hoe.
Setakat 4 perlawanan di bawah kendalian Cheng Hoe, Akram sudah merekodkan 269 minit perlawanan, ketiga tertinggi di belakang Nazmi Faiz Mansor (289′) dan Shahrul Saad (270′).