Akira Nishino Persoal Tahap Keselamatan, Bidas Media Malaysia Kerana ‘Spy Gate’ Atas Pokok

Jika ada senarai perlawanan terpenting bagi skuad Harimau Malaya pada tahun ini, kami yakin Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe akan meletakkan perlawanan menentang Thailand di Stadium Bukit Jalil pada malam ini di senarai teratas.

Perlawanan pada malam ini adalah perlawanan keempat bagi kedua-dua pasukan di saingan Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Thailand gah di tangga teratas kumpulan dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri. Vietnam mengutip jumlah mata yang sama, namun dipisahkan dengan perbezaan gol untuk berada di tangga kedua.

Tangga ketiga pula diduduki oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang pasti masih segar dari igauan dikejutkan Thailand.

Malaysia hanya dengan satu kemenangan setakat ini pula berada di tangga keempat kedudukan Kumpulan G untuk mengatasi Indonesia di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

Malaysia memerlukan mata penuh pada malam ini demi memastikan survival saingan diteruskan di peringkat kumpulan. Kekalahan pula akan memberikan impak kepada motivasi pemain, dan mampu menjejaskan saingan di perlawanan-perlawanan seterusnya.

Thailand pula mahu memastikan mereka kekal sebagai pencabar utama untuk muncul juara kumpulan sekaligus mara ke pusingan akhir kelayakan selain secara automatik dinobatkan sebagai ‘Raja Bola Sepak Asia Tenggara.

Pendek kata, perlawanan ini amat penting bagi kedua-dua pasukan dan persiapan menjelang perlawanan pasti dilakukan sebaik mungkin.

Sama ada ianya sekadar perang psikologi, atau sekadar satu perasaan paranoid dari kem Gajah Perang, Akira Nishino melalui sidang media di ibu negara semalam sempat mempersoalkan tahap keselamatan yang disediakan oleh tuan rumah, dan membidas media Malaysia.

Bagi Akira Nishino, tindakan sebahagian wartawan dari Malaysia mengintip sesi latihan pasukan kendaliannya adalah tindakan yang salah.

“Pihak keselamatan harus lebih tegas dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Kita semua pasti mahu satu pertandingan yang adil tanpa sebarang aduan di kemudian hari,” ujar beliau.

Semalam tular di media sosial di kalangan akaun penyokong dan peminat skuad Gajah Perang memaparkan cubaan media dari Malaysia ‘kononnya’ cuba merakam sesi latihan pasukan Thailand.

Sesi latihan tersebut dipercayai diadakan di UM Arena, Petaling Jaya.

Walaupun tanggapan Akira Nishino itu seolah-olah seperti media Malaysia berniat melakukan ‘spy gates’ ala Marcelo Bielsa, pada kami ia tidak lebih dari sekadar satu liputan untuk menghangatkan lagi perlawanan pada malam ini.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN