UEFA kini melakukan siasatan terhadap pemain pertahanan tengah Real Madrid, Sergio Ramos – selepas pemain itu mendedahkan secara terbuka dirinya sengaja untuk mendapatkan kad kuning dalam perlawanan UEFA Champions League menentang Ajax.
Sah tidak akan beraksi untuk perlawanan timbal balik selepas mengumpul jumlah maksimum kad kuning untuk pergantungan. Ramos juga berkemungkinan akan berhadapan dengan lebih banyak pergantungan yang akan menjejaskan penampilan beliau bersama Real Madrid di peringkat suku akhir.
Ambil kesempatan?
Pada ketika Real Madrid mendahului perlawanan 2-1, Ramos dilayangkan kad kuning pada minit ke-89 perlawanan. Ia adalah kad ketiga yang dilayangkan terhadap pemain tersebut, bermakna beliau secara automatik akan digantung untuk perlawanan seterusnya.
Dengan kelebihan gol di tempat lawan selepas menang 2-1 menentang Ajax di Johan Cryuff Arena, Ramos sah akan terlepas perlawanan timbal balik di Estadio Santiago Bernabeu pada 5 Mac hadapan.
Ini bermakna jumlah terkumpul kad kuning untuk Ramos akan kembali kepada kosong, sekiranya Real Madrid layak ke suku akhir.
Terlajak kata?
Bercakap kepada wartawan selepas tamat perlawanan, Ramos tidak sedar atau terlupa kata-kata beliau itu telah melanggar peraturan yang ditetapkan oleh UEFA.
“Selepas melihat keputusan semasa, saya menipu jika berkata tidak memikirkannya [beroleh kad kuning]. Ia adalah sesuatu yang saya fikikan. Ia bukan bertujuan untuk merendah-rendahkan lawan, tetapi di dalam bola sepak anda harus melakukan sesuatu keputusan, dan saya pun melakukannya.”
UEFA kemudiannya tidak membuang masa untuk membuka kertas siasatan berikutan kenyataan yang dilakukan oleh Ramos itu dalam temuramah yang turut disiarkan di kaca televisyen itu.
Ramos cari alasan?
Kapten pasukan yang melakukan penampilan ke-600 untuk Los Blancos kemudiannya cuba untuk mengubah kenyataan beliau melalui muat naik di Twitter.
“Dalam perlawanan yang tegang, anda harus melakukan keputusan dengan pantas. Perkara terbaik mengenai malam ini ialah keputusan perlawanan. Namun ia menyedihkan kerana saya tidak akan beraksi di perlawanan timbal balik hanya kerana satu insiden.”
“Saya mahu semua pihak jelas bahawa perkara ini lebih berat untuk saya berbanding orang lain. Saya tidak mendapatkan kad kuning itu dengan sengaja seperti pertandingan sebelum ini. Kini saya akan memberikan sokongan dari tempat duduk penyokong, dengan harapan pasukan akan mara ke suku akhir.”
Quiero dejar claro que me duele más que a nadie, que no he forzado la tarjeta, como tampoco lo hice contra la Roma en mi anterior partido de @ChampionsLeague, y que apoyaré desde la grada como un hincha más con la ilusión de poder estar en cuartos.#HalaMadrid https://t.co/zL0Heok5Vp
— Sergio Ramos (@SergioRamos) February 13, 2019
Bukan perkara baru
Musim lalu rakan sepasukan Ramos, Dani Carvajal dihukum gantung perlawanan oleh UEFA kerana sengaja mendapatkan kad kuning agar tidak beraksi di perlawanan terakhir peringkat kumpulan. Real sudah terlebih dahulu layak ke pusingan seterusnya sebelum itu.
Hukuman tersebut menyebabkan Carvajal tidak beraksi di perlawanan pusingan kalah mati menentang Paris Saint-Germain.