Akhyar Rashid, Trequartista Yang Perlu Dibangunkan Sebaik Mungkin

Amat jarang untuk kita melihat pemain muda belasan tahun seperti Akhyar Rashid mampu memberikan impak sehingga dipanggil untuk menyertai pasukan negara.

Kisah sebegini biasanya kita lihat di dalam bola sepak eropah. Wayne Rooney misalnya mulai menyarung jersi skuad kebangsaan England seawal usia 17 tahun.

Di Malaysia, pencapaian Akhyar setakat ini wajar diberikan pujian.

Bersama Ketua Editor Semuanya BOLA, Ahmad Muzammil dan pengacara Scoreboard, Hanif Miswan.

Pengenalan

Akhyar Rashid dilahirkan 1 Mei 1999 di Alor Setar, Kedah. Tidak sukar membayangkan bagaimana anak muda ini boleh cemerlang di dalam bidang sukan terutamanya bola sepak.

Ini kerana anak-anak keluarga Rashid sememangnya dikenali kerana kecemerlangan di dalam bidang sukan.

Akhyar bersama ayah dan ibu.

Abang kepada Akhyar, Rafdi Rashid adalah bekas pemain dan legenda pasukan Kedah.

Manakala kakak kepada Akhyar, Rashidah Abdul Rashid juga pernah aktif di dalam bola sepak, sebelum bertukar bidang kepada sepak takraw.

Kredit: KFA, Facebook.

Rashidah adalah pemain negara di dalam sukan itu. Manakala seorang lagi abang kepada Akhyar, Abdul Rafiq Rashid aktif di dalam sukan gimnastik di peringkat negeri.

Darah sukan memang sudah mengalir dalam diri keluarga Akhyar Rashid.

Karier awal

Karier bola sepak Akhyar bersama Kedah sebenarnya bermula ketika beliau berusia 15 tahun.

Pada ketika itu, beliau pernah dihantar oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) untuk menuntut ilmu bersama kelab Liga Perdana Inggeris, Cardiff City.

Sebulan berada di Wales bersama tiga rakan yang lain, Akhyar kembali ke tanah air untuk bersama skuad Piala Belia Kedah.

Dua tahun kemudian, beliau membantu pasukan belia Kedah untuk muncul juara Piala Belia, dengan menewaskan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP B-17) di perlawanan akhir.

Terbang bersama Lang Merah

Pada tahun yang sama Akhyar mulai menyerlah bersama pasukan belia, beliau juga mulai mendapatkan tempat bersama skuad senior Kedah di saingan Liga Malaysia.

Penampilan pertama anak muda ini bersama skuad Lang Merah ialah pada 4 Mac tahun lalu, apabila dimasukkan sebagai pemain gantian kepada Syazwan Zainon dalam kemenangan 4-0 ke atas Melaka United, di hadapan ribuan penyokong di Stadium Darul Aman.

Kredit: KFA, Facebook.

Bagaimanapun, gol pertama Akhyar untuk Lang Merah hanya tiba pada Jun tahun yang sama dalam perlawanan Piala Malaysia menentang lawan yang sama.

Sepanjang musim 2017 Liga Super Malaysia, Akhyar hanya melakukan tiga penampilan, dan setiap penampilan tersebut adalah dari bangku pemain simpanan.

Kredit: KFA, Facebook

Pada musim 2018, Akhyar diturunkan lebih kerap, apabila beraksi 17 daripada 22 perlawanan Liga Super. Namun 10 daripada 17 penampilan tersebut adalah dari bangku pemain simpanan.

Trequartista harapan negara

Di peringkat pembangunan, Akhyar sebenarnya dibangunkan sebagai pemain sayap, dan berkemampuan beraksi di kedua-dua belah bahagian sayap seperti mana yang diperagakan dalam perlawanan menentang Korea Selatan di pertandingan Sukan Asia baru-baru ini.

Tetapi Akhyar sebenarnya mampu beraksi di mana-mana posisi menyerang di belakang penyerang utama, atau sebagai penyerang kedua.

Kerana itulah Akhyar dianggap sebagai pemain baka trequartista. Pemain baka trequartista boleh bermain sebagai penyerang atau perancang; bergantung kepada situasi dalam perlawanan dan kebijaksanaannya mengadaptasi.

Dan sudah tentu seorang trequartista aktif di zon final third serangan, sebagaimana yang sering diperagakan oleh Akhyar.

Kemampuan dimiliki pemain ini menyebabkan beliau mudah menyesuaikan diri dengan formasi dan taktikal 3-5-2 Datuk Ong Kim Swee atau pun 4-2-3-1 milik Tan Cheng Hoe.

(Photo by Yifan Ding/Getty Images)

Melalui posisi ini, Akhyar mampu untuk melakukan larian dari bahagian sisi atau dari half space dengan menggunakan kepantasan yang dimiliki.

Atau aktif melakukan larian dari zon 14 untuk menyambar peluang sebagaimana beliau menghukum Krygyzstan di Sukan Asia.

Ini membenarkan beliau melakukan cut inside, sebelum menjaringkan gol, atau melakukan hantaran lintang untuk disempurnakan rakan yang lain. Ini adalah kekuatan utama Akhyar.

Tetapi haruslah kita jangan lupa, pemain ini hanya baru berusia 19 tahun. Ini bermakna beliau bukan ‘artikel lengkap’ dan mempunyai potensi untuk digilap lebih jauh.

Antara aspek lain yang perlu dilihat oleh Akhyar dan jurulatih ialah kualiti hantaran lintang, dan juga fizikal. Jika dua perkara ini boleh digilap lagi, kami yakin pemain ini mampu pergi lebih jauh, termasuklah memperagakan bakat ke luar negara.

Skuad kebangsaan

Akhyar Rashid adalah antara pemain negara yang memiliki cv paling lengkap jika mahu berbicara mengenai pembabitan antarabangsa.

Mulai mewakili negara pada usia 16 tahun, kejohanan antarabangsa pertama pemain ini ialah di dalam Kejohanan Sekolah-Sekolah Asian pada 2015.

Kredit: The AFC, Facebook

Tetapi tiga gol daripada lima perlawanan bersama skuad B-18 dalam Kejohanan AFF pada tahun lalu Akhyar mulai menunjukkan  potensi beliau.

Sejak dari kejohanan tersebut, nama Akhyar sering mendapat kepercayaan Datuk Ong Kim Swee dalam kejohanan-kejohanan peringkat usia yang lain.

Kredit: FAM, Facebook

Selain daripada bersama skuad B-23 yang mara ke suku akhir dalam kejohanan AFC di China pada Januari lalu, Akhyar adalah salah seorang pemain B-19 negara yang menjuarai kejohanan AFF pada Julai lalu.

Manakala debut bersama pasukan senior Harimau Malaya Akhyar tiba pada 22 Mac yang lalu dalam perlawanan persahabatan menentang Mongolia dimana beliau turut menjaringkan gol antarabangsa penuh yang pertama.

Dilema Akhyar

Akhyar mampu pergi lebih jauh lagi. Tidak ada siapa boleh meragui kenyataan ini. Malah kami percaya selain daripada Safawi Rasid, nama Akhyar turut antara yang dipantau kumpulan scouting di Sukan Asia.

Tetapi apa yang diperlukan oleh Akhyar untuk pergi lebih jauh? Pertama, Akhyar perlu memastikan musim berikutnya dirinya adalah pemain kesebelasan utama di saingan domestik.

(Photo by Power Sport Images/Getty Images)

Minit beraksi di atas padang adalah penting dalam memastikan konsistensi dan pemantauan berterusan kepada aspek pembangunan.

Pada awal tahun terdapat ura-ura Buriram United akan mendapatkan pemain ini, namun perkhabaran itu hilang begitu sahaja selepas itu.

Bintang muda negara, Akhyar Rashid turut dipanggil menyertai skuad bawah 23 tahun. (Gambar : FAM)

Adakah Akhyar akan kekal bersama Kedah pada musim hadapan akan terus menjadi persoalan.

Siapa tahu, pemain ini akan mendapat lamaran dan peluang beraksi bersama pasukan yang lebih besar dari luar negara satu hari nanti.

Kedah catat kemenangan pertama Liga Super ketika menentang PKNP FC hasil jaringan daripada Akhyar Rashid. FOTO: KFA

Satu perkara yang pasti ialah Akhyar memerlukan persekitaran yang boleh menjadikan beliau berada di tahap tertinggi.

Dan ia merangkumi segala aspek termasuk pasukan kejurulatihan, kemudahan, dan saingan kompetitif yang mampu dijadikan pemangkin untuk berjaya.

Rumusan

Bakat seperti Akhyar tidak akan selalu datang. Kini terpulang kepada KFA yang memegang hak kontrak, dan pemain ini sendiri untuk menentukan hala tuju selepas ini.

Akhyar adalah permata sukan bola sepak negara. Jangan biarkan permata itu berhenti bersinar.

Leave a Reply