Akhyar Rashid Serah Keputusan Penuh Kepada Tomislav Steinbruckner

Pemain sayap lincah, Akhyar Rashid kini dilaporkan sudah pun turun dalam sesi latihan bersama rakan sepasukan beliau di Terengganu untuk aksi seterusnya dalam saingan Liga Super 2024/2025.

Terdahulu, Akhyar terpaksa menghadapi detik menakutkan apabila beliau diserang oleh dua individu tak dikenali sehingga menyebabkan dirinya mengalami kecederaan di bahagian kepala, tangan serta kaki.

Kejadian tersebut berlaku ketika persaingan musim 2024/2025 akan bermula hanya beberapa hari sahaja lagi dan menyebabkan beliau terlepas aksi sulung bertemu Perak lalu.

Ketiadaan pemain kelahiran Kedah itu menyaksikan Tomislav Steinbruckner terpaksa membuat rombakan dengan menggunakan khidmat Norhakim Hassan selaku pemain sayap untuk menghadapi skuad kendalian Yusri Che Lah.

Walaupun begitu, kehadiran Akhyar yang kembali turun dalam sesi latihan Sang Penyu pastinya memberi kelegaan buat pengendali tersebut untuk aksi seterusnya berdepan Penang.

Jelas Akhyar, beliau kini tidak sabar untuk membuat penampilan sulung beliau secara rasmi dalam persaingan liga setelah dirinya terlepas pada aksi lalu di laman sendiri.

Walaupun kejadian lalu masih memberi kesan buat Akhyar, ianya tidak memudarkan semangat beliau untuk terus beraksi bersama Terengganu pada musim ini.

“Tahap kecederaan saya kini semakin pulih dan sudah mula jalani latihan ringan bersama rakan sepasukan pada hari ini (semalam) selepas hampir dua minggu berehat.

“Saya anggarkan dalam tiga hari lagi saya mampu memakai but bola selepas jahitan dibuka akibat kecederaan itu, semangat saya untuk membantu pasukan TFC ini sama seperti sebelum ini.

“Berdepan Penang FC dalam aksi kedua Liga Super pada Ahad ini, saya sedia untuk diturunkan selepas terlepas aksi pertama menentang Perak FC, bagaimanapun ianya terserah kepada ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner untuk menentukan.

“Jika tidak dapat bermain pastinya sedih, tapi saya percaya barisan kejurulatihan ada perancangannya yang tersendiri untuk saya, jadi saya mahu fokus jalani latihan terlebih dahulu dan mahu cergas sepenuhnya selain mendapat keyakinan semula,” kata beliau menerusi laporan Harian Metro.

Pada masa sama, pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengakui masih lagi trauma dengan kejadian yang melanda dan tekad untuk melupakannya.

“Insya-Allah dengan sokongan dan doa keluarga, pihak pengurusan, rakan sepasukan dan juga seluruh peminat bola sepak tanah air, kejadian itu mahu saya lupakan seberapa segera biarpun kini masih lagi trauma,” jelasnya akhir sekali.

Sumber:
Harian Metro

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN