Nama pemain sayap lincah negara iaitu Akhyar Rashid berkemungkinan besar bakal menjadi antara pertaruhan penting Terengganu untuk aksi membabitkan pasukan itu menentang BG Pathum United.
Terdahulu, Terengganu berdepan dengan cabaran cukup getir pada hari ini apabila mereka bakal berkunjung ke gelanggang lawan untuk perhitungan seterusnya dalam kejohanan ACC Shopee Cup peringkat Kumpulan A.
Atas kertas, kelebihan jelas terarah kepada BG Pathum United kerana mereka bakal bermain di laman sendiri serta turut diperkuatkan oleh beberapa bintang bola sepak Thailand.
Malah, reputasi semasa mereka juga dianggap cukup menyakinkan apabila pasukan itu tidak tewas selepas mengharungi empat perlawanan lalu dengan aksi menyakinkan.
Namun, cabaran daripada Sang Penyu juga tidak boleh dipandang mudah kerana mereka turut mencatat dua kemenangan berturut-turut sebelum itu di saingan ACC Shopee Cup untuk menghambar BG Pathum United.
Bagi aksi ini, kami menyenaraikan tiga pemain tumpuan wakil kelab dari Malaysia itu yang dijangka bakal memainkan peranan penting untuk membantu kejayaan Sang Penyu.
Akhyar Rashid
Lincah, licik, dan tajam di hadapan gawang gol menjadikan pemain kelahiran Kedah ini serba lengkap untuk menjadikan beliau perhatian utama buat pertahanan lawan.
Apatah lagi Akhyar turut memiliki reputasi yang cukup baik musim ini bersama Terengganu serta di pentas kejohanan ACC Shopee Cup menerusi kualiti penyudah beliau di pentas antarabangsa.
Rekod semasa menyaksikan Akhyar telah mengumpul tiga gol dan berkongsi kedudukan bersama dua lagi pemain iaitu Leo Artur dan Van Do Le (Cong Ahn Hanoi FC) untuk berada di tempat kelima penjaring semasa terbanyak.
Manuel Ott
Ketika nama beliau dianggap kurang relevan dalam sesetengah peminat, pemain kebangsaan Filipina itu membuktikan beliau masih mampu memberikan impak besar khususnya buat serangan Terengganu.
Setakat ini beliau sudah berkongsi jumlah jaringan bersama peledak berbisa Buriram United iaitu Lucas Crispim apabila masing-masing sudah meledak empat gol secara keseluruhan.
Musim ini juga menyaksikan Ott diletakkan selaku pemain tengah serangan utama Sang Penyu dan beliau tampil cukup efektif daripada segi kreativiti mencipta peluang serta ketajaman di hadapan pintu gol.
Safawi Rasid
Antara peledak berbisa Terengganu musim yang sudah pun mencipta dua angka gol dengan membawa status selaku pemain tempatan dengan cukup menyakinkan.
Beraksi di posisi sayap kanan, Safawi bukan sahaja menawarkan kelincahan untuk mengkucar kacirkan pertahanan lawan, malah beliau turut tajam menjaringkan gol.
13 gol bersama tiga bantuan jaringan daripada 26 penampilan sudah cukup untuk membuktikan Safawi antara pemain paling berbahaya perlu diawasi pertahanan lawan.