Akhyar Rashid Dan Quentin Cheng Jadi Dua Lagi Pemain Positif Covid-19

Kemenangan kedua Malaysia di Piala AFF 2020 selepas membelasah Laos 4-0 diikuti oleh berita kurang baik.

Ini setelah dua lagi pemain negara, Akhyar Rashid dan Quentin Cheng disahkan positif Covid-19 selepas pemeriksaan dilakukan pada pagi tadi.

Akhyar setakat ini telah menyumbang satu gol dalam perlawanan menentang Kemboja dan merupakan pemain terbaik dalam perlawanan tersebut.

Ini menjadikan setakat ini empat pemain skuad Piala AFF terpaksa dikuarantin, selepas Faisal Halim dan Khairulazhan Khalid turut disahkan positif sebaik tiba di Singapura sebelum sepak mula kejohanan.

Ketiadaan Akhyar Rashid dan Quentin Cheng bermakna Tan Cheng Hoe hanya mempunyai 18 pemain cergas di dalam pasukan.

Ini kerana Junior Edstal turut dipercayai mengalami kecederaan, dan Dion Cools turut belum lagi tiba di Singapura untuk menyertai pasukan. Cools dijangka hanya akan dapat beraksi untuk pasukan negara dalam perlawanan menentang Indonesia yang merupakan perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 19 Disember akan datang.

Usaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membawa penjaga gol pengganti sudah pun diluluskan oleh pihak penganjur. Namun usaha tersebut dipercayai turut akan mengambil masa kerana perlu mematuhi peraturan kesihatan kerajaan Singapura.

Sehingga itu, pasukan negara hanya akan memiliki dua penjaga gol untuk kejohanan ini iaitu Khairul Fahmi Che Mat dan juga Kalamullah Al-Hafiz.

Setakat ini pasukan negara telah merekodkan dua kemenangan berturut-turut, menewaskan Kemboja 3-1 dalam perlawanan pembukaan, sebelum membelasah Laos 4-0 sebentar tadi.

Malaysia akan menentang Vietnam pada 12 Disember nanti dalam perlawanan yang dianggap paling getir buat anak buah Tan Chgeng Hoe.

Leave a Reply