Pemain sayap sensasi negara, Akhyar Rashid mengakui beliau begitu berat hati pada awalnya untuk meninggalkan kelab asalnya iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mengharungi saingan musim akan datang.
Apa tidaknya, Akhyar sudah pun berbakti begitu lama sebelum ini bersama JDT serta mencipta pelbagai kejayaan buat pasukan tersebut sepanjang menyarung jersi Harimau Selatan.
Terengganu menjadi pasukan ketiga diwakili beliau sepanjang mengharungi karier dalam dunia bola sepak profesional, selepas beliau memulakan segalanya bersama Kedah Darul Aman (Kedah, sebelum ditandatangani JDT serta menyertai Terengganu menerusi status pinjaman.
Penyertaan Akhyar dan Safawi bersama Terengganu boleh dianggap cukup sensasi kerana kedua pemain tersebut membawa reputasi cukup tinggi sebelum ini dalam arena bola sepak tanah air.
Jelas Akhyar, beliau perlu membuat keputusan menyertai pasukan baharu pada saingan akan datang kerana ingin mendapatkan lebih banyak minit permainan serta memastikan prestasi dirinya itu berkembang baik.
“Sejujurnya hati saya begitu berat untuk tinggalkan JDT yang mempunyai fasiliti yang lengkap di tambah kejayaan yang begitu membanggakan dalam Liga Malaysia (Liga M) selain di pentas Asia.
“Namun demi minit permainan, selain jurulatih menyarankan saya untuk keluar bersama pasukan lain secara pinjaman, jadi saya terpaksa melangkah pergi untuk mencari angin baharu.
“Lagipun umur saya sudah 25 tahun, saya perlu tingkatkan lagi prestasi permainan dari setahun ke setahun bagi memastikan terus kekal konsisten,” katanya menerusi laporan dikeluarkan oleh Berita Harian.
Pada masa sama, pemain yang mempunyai skil kawalan bola cukup tinggi itu juga mengakui faktor reputasi semasa Sang Penyu menjadi sebab kenapa dirinya memilih pasukan tersebut pada saingan hadapan.
“Sebenarnya saya sendiri yang nak datang ke Terengganu selepas dilepaskan secara pinjaman oleh JDT, saya nampak pasukan ini lengkap di setiap posisi ditambah kehadiran rakan sepasukan, Pawi (Safawi) dalam pasukan TFC ini.
“Malah keluarga juga tidak halang sebaliknya memberi galakan supaya menyarung jersi TFC, jadi Alhamdulillah saya diterima menjadi salah seorang pemain dalam pasukan ini, terima kasih pihak pengurusan TFC.
“Insya-Allah saya bersama rakan sepasukan akan cuba yang terbaik untuk membantu pasukan sekurang-kurangnya merangkul satu trofi kejuaraan pada musim ini,” jelas pemain tersebut akhir sekali.
Hadir dengan keupayaan tinggi mengawal bola serta tajam di hadapan gol, kelebihan Akhyar pastinya akan menjadi pertaruhan penting buat Terengganu pada saingan hadapan sekali gus terus membuka ruang buat dirinya terus mewakili Harimau Malaya.