Barcelona kini boleh menarik nafas lega selepas Sergino Dest berjaya menamatkan penantian selama bertahun-tahun untuk memburu pemain yang tepat untuk menggantikan Dani Alves di posisi pertahanan kanan.
Sejak pemain Brazil itu meninggalkan Nou Camp pada 2016, usaha untuk mencari penggantikanya tidaklah mudah. beberapa pemain silih berganti dibawa masuk untuk mengisi kekosongan tersebut. Antaranya Sergi Roberto, Aleix Vidal, Nelson Semedo, Moussa Wague, Douglas dan Dani Morer.
Bagaimanapun tiada seorang pun yang berjaya menepati ‘selera’ sehinggalah pelantikan Ronald Koeman yang berjaya mendapatkan pemain muda Amerika Syarikat (AS) berusia 20 tahun itu dari kelab Belanda, Ajax.
Tolak tawaran Bayern Munich
Walaupun turut dipancing oleh kelab gergasi Jerman, Bayern Munich, Dest yang mengidolakan Ronaldinho merasakan Barcelona adalah pasukan yang tepat untuk mengembangkan kariernya.
Pemain tersebut telah dibeli dengan harga €21 juta (RM102.2 juta) dengan €5 juta bonus tambahan bergantung kepada pencapaiannya di kelab Catalan tersebut. Beliau juga bersetuju untuk mengikat kontrak selama lima tahun bersama klausa pelepasan bernilai €400 juta (RM1.95 bilion).
Ajax sememangnya terkenal dengan ‘kilang’ yang menghasilkan pemain-pemain muda berkualiti dan ‘dibekalkan’ kepada kelab-kelab ternama dunia termasuk Frankie de Jong yang kini turut beraksi untuk kelab Sepanyol berkenaan.
Sekalipun dilahirkan di Almere, Belanda, beliau memilih untuk mewakili negara ayahnya di peringkat antarabangsa dan telah pun mengumpul lima kaps bersama skuad kebangsaan AS.
Menepati gaya permainan Barca
Dengan usia yang masih muda, Dest telah pun menunjukkan kematangan dan kebijaksanaannya dengan berjaya menyesuaikan diri dengan corak permainan yang diterapkan oleh Koeman dan mengukuhkan namanya sebagai pemain kesebelasan utama pasukan.
Walaupun beliau bukanlah pemain yang agresif dan tidak mempunyai susuk tubuhnya yang ‘menggerunkan’, namun gaya permainannya yang mempunyai kekuatan di bahagian serangan jelas menepati apa yang diperlukan oleh Barca.
Dengan kemahiran memengang serta menggelecek bola yang baik, Dest mempunyai keyakinan yang tinggi untuk masuk ke bahagian final third dan membuat hantaran yang menghadirkan ancaman kepada pertahanan lawan.
Beliau juga tidak takut untuk membuat percubaan dan telah pun menjaringkan tiga gol termasuk dua gol yang terhasil ketika Barcelona ‘kenduri besar’ menang 6-1 ke atas Real Sociedad tempoh hari.
Rekod bantuan jaringannya ketika bersama Ajax juga cukup memberangsangkan di mana beliau juga terlibat dalam hampir separuh daripada jumlah jaringan yang dihasilkan oleh bekas kelabnya itu dalam saingan Eredivisie pada musim lepas.
Kadar hantaran sempurnanya pada musim ini bersama Barcelona mencecah 90.4 peratus dan merupakan yang terbaik dalam kalangan 150 pemain pertahanan sisi di Eropah.
Penutup
Realitinya Dest bukanlah pemain yang telah mencapai tahap keupayaan Dani Alves yang boleh dianggap lengkap dari pelbagai aspek. Tetapi kehadirannya di Barcelona menjanjikan seorang prospek yang berkualiti dan mempunyai masa depan yang cerah.
Semedo mungkin pemain yang baik, tetapi kekurangannya dalam membantu bahagian serangan telah membuka pintu keluarnya ke Wolverhampton Wanderers.
Manakala Sergi Roberto yang dinaikkan dari Barcelona B sememangnya adalah pemain tengah bertahan, tetapi telah diubah posisinya ke posisi tersebut.
Dengan usia yang muda dan mempunyai karier yang masih panjang, maka ia peluang terbaik untuk Dest mengukuhkan kedudukannya selaku pemain pertahanan kanan untuk tempoh jangka masa panjang.
Kredit Foto: Getty Images
Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).
Baca juga artikel kami yang lain mengenai Sergino Dest dan Barcelona:
RASMI: Barca Umum Pembelian Sergino Dest Dari Ajax Dengan Klausa Pelepasan €400 Juta
Senarai Pemain Dibawa Masuk Oleh Barcelona Era Laporta 2003-2010