Akanni Sunday Bedil 2 Gol, Bantu UiTM FC Tumbangkan Kelantan

2 gol separuh masa pertama jaringan Akanni Sunday menghidupkan sisa-sisa harapan UiTM FC untuk layak pusingan suku akhir TM Piala Malaysia 2017 selepas ia sudah cukup untuk menumbangkan Kelantan 2-0 di Stadium UiTM malam semalam.

Gol pada minit 6′ dan 45′ itu membolehkan UiTM mengutip 3 mata pertama dalam saingan kumpulan C. Tetapi mereka masih terperosok di kedudukan terbawah kumpulan.

Sistem 5 pertahanan Wan Mustafa kembali

Perlawanan malam ini bukanlah kali pertama kami menyaksikan UiTM FC bermain. Dalam laporan perlawanan kami ini dan ini, kami dapat mengesan kecederungan ketua jurulatih UiTM FC Wan Mustafa yang gemar bermain dengan sistem 5-4-1 setiap kali menentang pasukan kuat.

Dan malam ini menentang pasukan Liga Super seperti Kelantan, Wan Mustafa mempertaruhkan sistem serupa.

Cuma bezanya UiTM turun tanpa Onorionde Kugehegbe di barisan pertahanan. Juga tidak diturunkan adalah kapten Afif Asyraf dan Faiz Bandong.

Ini bermakna dengan kehadiran Muhd Faizal, Muhd Ilham dan Syed Ariff, UiTM menampilkan jentera pertahanan yang mentah pengalaman.

Kelantan pula tampil dengan sistem 4-1-3-2/4-3-3. Khairul Izuan digandingkan bersama Alessandro Celin untuk menggempur benteng pertahanan muda UiTM. Mereka turut dibantu oleh Abou Bakr Al-Mel (Bako) yang bermain di sayap kanan.

UiTM bermula garang

Dengan Kelantan yang gah menang 3-1 dalam pertemuan di Kota Bharu pada 4 Julai lepas, tidak hairanlah ramai penyokong Kelantan yang optimistik pasukan mereka mampu mendapatkan kemenangan di Stadium UiTM semalam.

Tetapi seawal 5 minit pertama, UiTM sudah menunjukkan mengapa mereka tak patut dipandang rendah.

Jentera tengah Kelantan yang dikemudi Indra Putra, Margaro Gomis dan Rozaimi Azwar ternyata gagal mengekang kelincahan 4 pemain tengah UiTM – terutamanya Marcel N’Guessan dan Do Dung-hyun.

Kelantan nampak mudah dirobek dari tengah sekaligus membolehkan Akanni Sunday mendapat banyak peluang memegang bola.

Pada minit ke-6, salah satu serangan UiTM tersebut menghadiahkan sepakan sudut. Kegagalan Mamadou Danso mengawal Sunday membolehkan penyerang kelahiran Nigeria tersebut merembat masuk untuk gol pertama UiTM.

Kredit: UiTM FC

Danso terus beraksi buruk

Tersentak dengan gol awal pasukan tuan rumah, Kelantan bangkit mengemaskan serangan.

Hasilnya pada minit 8′, Indra Putra memperolehi peluang untuk menyamakan kedudukan. Bagaimanapun pemain veteran tersebut gagal melakukannya apabila percubaannya tersasar.

Kelantan terus menguasai perlawanan selepas itu. Tumpuan utama serangan mereka adalah melalui kawasan sayap yang menjadi kawasan Bako dan Indra bermain. Bagaimanapun barisan serangan mereka masih tidak mempunyai jawapan untuk melepasi 3 pertahanan tengah UiTM.

Ketika sedang Kelantan sibuk menyerang, pada minit 45′ UiTM mendapat peluang seragan balas.

Jelas sekali titik utama serangan UiTM adalah Sunday. Danso pula ditugaskan mengawal Sunday. Tetapi entah mengapa pada minit 45′, Danso gagal menghentikan percubaan Sunday walaupun situasi 1v1 antara mereka nampak terkawal.

Percubaan Sunday tersebut menuju sudut bawah di sebelah kanan penjaga gol Kelantan, Ramadhan Abd Hamid untuk gol ke-2 UiTM.

Kegagalan Danso bertahan ini turut mengingatkan kami dengan persembahan buruk beliau ketika kekalahan 1-5 Kelantan kepada Kedah.

Dalam perlawanan tersebut, Danso beberapa kali dilihat tewas situasi 1v1 – sekaligus menghadiahkan peluang kepada penyerang Kedah.

Kelantan hilang idea

Sebaik tiba separuh masa kedua, Kelantan melakukan beberapa pertukaran. Taruhan mereka adalah memasukkan Mohd Qayyum untuk menggantikan Rozaimi Azwar dan menukar posisi Bako ke bahagian serangan bersama Celin.

Bagaimanapun skripnya masih sama seperti 45 minit pertama. Kelantan seolah-olah tiada idea ketika menyerang dan mudah diserang balas apabila hilang bola.

Buktinya ada pada minit 57′, 58′, 78′, 80′, 86′ dan 90′. 6 percubaan ini hadir atas sebab sama iaitu:

  1. Kelantan hilang bola kerana tiada idea ketika menyerang
  2. Ini menyebabkan Kelantan mudah diserang balas
  3. Keadaan bertambah buruk apabila Danso masih gagal mengawal Sunday

Ketika UiTM menghadiahkan sendiri peluang menjaringkan gol kepada Danso pada minit 61′, pertahanan tengah kelahiran Gambia ini pula mensia-siakan peluang – meskipun beliau telah menewaskan penjaga gol UiTM, Soffuwan Tawil.

Sistem 5-4-1 UiTM yang memberi lesen larian serangan kepada 4 pemain tengahnya membolehkan pasukan tuan rumah sentiasa berbahaya ketika serangan balas.

Kredit: UiTM FC

Manakala sistem 4-1-3-2 Kelantan pula terus buntu menembusi benteng pertahanan UiTM yang mungkin mentah dari segi usia, tetapi mempamerkan persembahan matang.

Kebuntuan ini berterusan sehinggalah tamat perlawanan – sekaligus menyebabkan lebih 3,000 penyokong Kelantan yang hadir si Stadium UiTM semalam hilang sabar.

Mangsa jelas penyokong Kelantan adalah Celin yang mendapat maki hamun penyokong Kelantan di seksyen grandstand ketika Nurfarhan Mohamad masuk meggantikannya pada minit 90′.

Pemain terbaik perlawanan: Akanni Sunday

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN