Bagaimana Akademi Anderlecht Membantu Dalam Pembinaan Skuad Piala Dunia 2018 Belgium?

Akademi Anderlecht

Perjalanan Belgium ke peringkat separuh akhir Piala Dunia 2018 merupakan pencapaian terbaik mereka sejak kali terakhir pasukan dengan nama jolokan The Red Devils ini melakukannya pada Piala Dunia 1986 di Mexico.

Umum mengetahui bahawa barisan pemain Belgium adalah pemain utama di kelab-kelab besar dunia ketika ini seperti Romelu Lukaku, Marouane Fellani, Eden Hazard , Thibaut Courtois , Kevin De Bruyne, Vincent Kompany dan banyak lagi.

Tetapi tahukah anda, 35% daripada barisan pemain skuad bimbingan Roberto Martinez dalam saingan di Rusia adalah produk keluaran akademi kelab terkemuka Belgium, Anderlecht.

Sumbangan Akademi Anderlecht buat pasukan Belgium

  • Purple Talent Project dan ‘Lukaku effect’

Pengarah akademi, Jean Kindermans menjelaskan bahawa bapa kepada Romelu Lukaku bertanggungjawab merintis kepada kerjasama bersama pihak sekolah.

Idea itu muncul berikutan minat yang ditunjukkan kelab Perancis seperti Lille, RC Lens, AJ Auxerre dan Saint-Etienne yang mahukan khidmat Lukaku ketika beliau berusia 15 tahun.

Kelab-kelab tersebut juga turut menjanjikan penyediaan sekolah, penginapan asrama serta pendidikan bola sepak buat Lukaku.

Beberapa bulan kemudiannya (11 tahun yang lalu), Akademi Anderlecht telah memulakan ‘Purple Talent Project’ dan kini ditukar kepada ‘Purple Talent Programme’.

  • Apa itu Purple Talent Project?

‘Purple Talent Project’ secara ringkasnya berperanan dalam menggabungkan bola sepak dengan akademik pada tahap tertinggi.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengurus Pembangunan Akademi  Anderlecht, Kevin Vermeulen yang turut berkata:

”Kami merasakan semua orang patut mempunyai peluang untuk belajar mengenai apa yang digemari mereka, di tahap yang mereka suka.”

Falsafah yang diterapkan Akademi Anderlecht ini adalah ‘Memenangi bola, mengawal bola, kemajuan, mencipta peluang, sempurnakan peluang dan menang.’

Itulah kitaran yang dipupuk buat para pemain mereka di akademi.

Purple Talent Project juga menumpukan terhadap tiga aspek utama buat para pemain remaja yang meliputi:

1) Kepintaran

Pemain yang dilengkapi dengan kebolehan teknikal tetap diutamakan, namun ia tidak mencukupi.

Anderlecht mahu mencipta pemain yang sangat baik, mampu membaca permainan yang baik dan berupaya untuk membuat keputusan tepat di atas padang.

2) Kemampuan pemain menggunakan kedua-dua belah kaki

Menjadikan seseorang pemain itu berkemampuan untuk menggunakan kekuatan di kedua-dua belah kaki mereka.

Sebagai contoh, seseorang pemain perlu turut berkebolehan dalam melakukan hantaran, rembatan dan gelecekan menggunakan kaki yang bukan dominan buat mereka.

3) Melahirkan pemain yang serba boleh

Mewujudkan pemain yang mampu untuk menyesuaikan diri dengan apa-apa corak permainan.

Kindermans menyatakan bahawa akademi telah menetapkan sistem 3-4-3 dan akan berkembang menjadi 4-3-3 di peringkat bawah 15 tahun.

Bagaimanapun, beliau mahu pemainnya fleksibel dengan pelbagai sistem berdasarkan kelemahan dan kekuatan mereka.

”Saya bukan ‘Godfather’, tetapi saya percaya bahawa mencipta pemain yang serba boleh akan membantu dalam membangunkan manusia yang cerdas.”

”Jika mereka mematuhinya, mendengar dan bekerja keras di sini, maka siapa yang tahu apa yang boleh dicapai oleh mereka?” jelas Kindermans lagi.

Sebagai contoh, Dries Mertens walaupun beliau ketika itu masih baru dengan persekitaran Akademi Anderlecht, beliau dapat membuktikan dirinya mampu bermain di posisi berlainan.

Semuanya tertumpu dalam satu konteks, di mana asas utamanya adalah untuk memberikan pelajaran kepada bakat muda dalam proses menerapkan inovatif dan kreativiti bagi memenuhi keperluan bola sepak moden.

Produk keluaran Akademi Anderlecht. Foto: The Guardian

Ke mana perginya produk Lepasan Purple Talent Project? 

Daripada 23 pemain Belgium yang terpilih ke Rusia, lapan daripadanya adalah produk lepasan Purple Talent Group.

Pemain-pemain tersebut adalah Romelu Lukaku, Vincent Kompany, Leander Dendoncker, Youri Tielemans, Dries Mertens, Adnan Januzaj, Michy Batshuayi dan Marouane Fellaini.

Lebih menarik daripada senarai yang dinyatakan, lepasan produk tersebut telah menghasilkan 8 jaringan setakat ini (ketika artikel ini dikeluarkan) dalam saingan Piala Dunia 2018.

Jaringan yang dihasilkan itu sama seperti jumlah gol pasukan lawan mereka di suku akhir, Brazil sepanjang kejohanan.

Lukaku yang menghabiskan masa satu jam sebelum masuk ke kelas dengan melakukan latihan ‘finishing’ pada setiap pagi (ketika zaman remajanya), telah berjaya mencipta empat jaringan di Rusia.

Dengan bukti yang jelas dapat dilihat ini, ternyata kewujudan Purple Talent Project telah memberikan impak berkesan dalam menghasilkan generasi emas bola sepak Belgium yang sedang dinikmati.

Hubungkait dengan pembangunan bola sepak di Malaysia

Di Malaysia, tidak banyak yang dapat diperkatakan mengenai pembangunan akar umbi seperti dilakukan Anderlecht ini.

Melihat kepada persatuan bola sepak negeri, kebanyakannya langsung tidak mempunyai akademi bola sepak.

Jika ada sekalipun, ia mungkin dikelola seperti melepaskan batuk di tangga, dan tidak dikendalikan secara sistematik dan teratur.

Namun terdapat juga usaha dari pihak kerajaan apabila Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mewujudkan Sekolah Sukan Negeri (Bola Sepak).

Dalam pada itu, Program Pembangunan Bola Sepak Negara Malaysia (PPBN) atau lebih dikenali dengan nama NFDP Malaysia pula telah diwujudkan oleh Kementerian Belia dan Sukan yang turut mendapat kerjasama dari KPM.

NFDP mempunyai visi dan misi yang jelas dalam melahirkan ramai pemain bola sepak bertaraf dunia secara konsisten

Ia juga langkah bagi mewujudkan satu ekosistem pembangunan bola sepak yang sistematik dan menyeluruh ke arah meningkatkan kuantiti serta kualiti pemain bola sepak negara.

Kewujudan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang diilhamkan NFDP sudah mula memberikan hasil yang boleh dibanggakan apabila tiga pemain mereka dijemput untuk beraksi bersama Paris Saint-Germain B-13 dalam satu kejohanan di Rome beberapa tahun lalu.

Skuad AMD di pelbagai peringkat umur juga telah membuka mata banyak pihak di luar sana terhadap kualiti yang dimiliki pemain cilik tanah air dengan saingan hebat diberikan dalam satu-satu kejohanan disertai.

Usaha yang dilakukan ini sememangnya mampu untuk memberikan sinar cerah buat bola sepak negara dan hasil awal sudah dapat disaksikan apabila Luqman Hakim Shamsudin kini sudah pun berada di Belgium untuk bersama KV Kortijk.

Cuma harus diingatkan, kejayaan tidak akan datang bergolek. Perlu bersabar dan jangan terlalu mudah untuk menghukum.

Penutup

Segala yang diusahakan perlu disertakan dengan gerak kerja yang sistematik.

Selain kerjasama daripada semua pihak, ia turut menuntut pengorbanan dalam memenuhi pengertian profesional secara holistik.

Jika pengurusan sesebuah pasukan dengan pentadbirannya, pemain juga harus memiliki mentaliti untuk berani melangkah ke hadapan bagi memajukan diri.

Harapan kita pastinya satu hari nanti bola sepak Malaysia benar-benar celik akan kepentingan mengembangkan bakat muda dan menjadikan ianya dasar utama kepada setiap persatuan dan kelab.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN