Tottenham Hotspur berhadapan misi sukar untuk layak ke perlawanan akhir UEFA Champions League (UCL) selepas tewas 0-1 kepada pasukan pelawat di separuh akhir pertama pertandingan eropah itu pada pagi tadi.
Bukan sahaja Ajax kini memiliki kelebihan satu gol di tempat lawan. Spurs juga akan berhadapan dengan anak buah Erik ten Hag di hadapan ribuan penyokong lawan di Johan Cruyff Arena pada Rabu hadapan.
Donny van de Beek menjadi wira Ajax dalam perlawanan yang diadakan di stadium serba baharu milik Spurs apabila jaringan bijak beliau dari jarak dekat pada minit ke-15 berjaya melepasi jangkauan Hugo Lloris.
Spurs yang beraksi tanpa enam tonggak utama akibat kecederaan dan pergantungan jelas sekali sukar untuk memberikan impak dalam perlawanan ini.
Ketiadaan penyerang Harry Kane dan Son-Heung Min menyukarkan mereka untuk melakukan serangan ke kubu lawan. Malam Spurs menjadi lebih sukar apabila pemain pertahanan, Jan Vertonghen terpaksa dikeluarkan akbat kecederaan di muka pada separuh masa pertama.
Pemain itu cuba meneruskan perlawanan, namun gagal berbuat demikian selepas pelanggaran bersama rakan sepasukan, Toby Alderweireld dan penjaga gol Ajax, Andre Onana.
Tottenham cuba mempercepatkan permainan pada babak kedua dengan menguasai penguasaan bola. Namun ianya Ajax yang lebih mengancam apabila percubaan David Neres sekadar terkena tiang, tatkala Lloris hanya mampu memerhatikannya sahaja.
Ajax berjaya mempertahankan kelebihan yang dimiliki mereka dengan selesa, dan sudah tentu Spurs harus menampilkan aksi yang lebih baik daripada perlawanan ini untuk mengimpikan ke Madrid pada Jun nanti.
Saksikan rangkuman video perlawanan melalui pautan di bawah: