Airfan Doloh Fasih ‘Kecek Kelate’, 5 Fakta & Sejarah Mengenai Masyarakat Melayu Di Selatan Thailand

Airfan Doloh Thailand 4

Dari sekeping gambar, ia mampu memberi 1,001 makna. Pemain skuad B-23 Thailand, Airfon Doloh dilihat tidak kekok untuk bergambar bersama pemain-pemain muda negara sebaik sahaja tamat perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia B-23 di Ulaanbatar pada Ahad.

Menurut laporan VocketFC, pemain berusia 20 tahun ini dikatakan hadir bertemu dengan pemain-pemain Malaysia dan bersembang menggunakan bahasa Melayu, sekaligus berjaya mencuri perhatian media Thailand dan netizen berdasarkan gambar yang dikongsikan oleh akaun Facebook rasmi Thailand, Changsuek,

Pemain yang lebih mesra dengan panggilan Pang itu berasal dari Kampung Jambu Rendang, yang terletak di daerah Bacho, Narathiwat, iaitu sebuah wilayah yang terletak di sempadan Kelantan.

Bapa kepada Airfan Doloh iaitu Muhammad Yunainan juga dikatakan pernah bermain bola sepak dengan sebuah pasukan di Tumpat, Kelantan satu ketika dahulu.

Adakah sesuatu yang menghairankan untuk Airfan Doloh mampu berbahasa Melayu? Berikut adalah beberapa fakta dan sejarah mengenai masyarakat Melayu di Selatan Thailand.

Sejarah pergolakan

Menerusi Perjanjian Bangkok 1909, beberapa wilayah di selatan Thailand seperti Senggora (Songkhla), Pattani, Yala dan Narathiwat telah diserahkan oleh pihak British kepada kerajaan Siam.

Beberapa wilayah ini yang satu masa dahulu dikenali dikuasai oleh sebuah kerajaan Islam yang dikenali sebagai Patani Darulsalam atau Patani Raya yang pernah menjadi sebuah empayar yang hebat sekitar abad ke-14 hingga abad ke-16.

Selepas diperintah oleh kerajaan Siam, umat Islam di beberapa wilayah ini telah menghadapi pelbagai bentuk tekanan. Orang Melayu telah menjadi mangsa dasar asimilasi kebudayaan yang diperkenalkan oleh kerajaan Siam.

Pada 24 Jun 1932, berlaku peristiwa rampasan kuasa oleh pegawai tentera yang diketuai oleh Phya Bahol dan orang-orang awam yang menyebabkan bertukarnya sistem pemerintahan raja berkuasa mutlak kepada sistem pemerintahan raja berperlembagaan.

Matlamat asalnya adalah untuk memastikan kesemua lapisan masyarakat diberikan kebebasan dan peluang sama rata untuk melibatkan diri dalam proses pemerintahan sendiri.

Perubahan ini pada awalnya mendapat sokongan orang-orang Melayu di selatan Thailand dan berharap pihak kerajaan dapat memberikan kuasa autonomi kepada mereka untuk menjalankan pemerintahan sendiri sekaligus dapat memelihara agama, budaya dan bahasa mereka.

Rancangan Asimilasi

Bagaimanapun, revolusi Siam itu juga telah menjadikan orang-orang Siam lebih bersemangat kebangsaan yang bersifat ‘kesiaman’ daripada sebelumnya. Berasaskan semangat perlembagaan itu pemimpin-pemimpin Siam mula menyusun dasar untuk membentuk sebuah negara Siam yang sejati kepada satu agama, bahasa dan budaya Siam.

Pemerintah pada ketika itu mengenakan dasar-dasar baharu kepada penduduk-penduduk di kawasan ini dengan harapan untuk mengasimilasikan orang-orang Melayu Muslim kepada budaya masyarakat majoriti Siam-Buddha.

Semasa pemerintahan Phya Bahol pada tahun 1933 hingga 1938, beberapa langkah awal telah diambil oleh kerajaan Siam untuk mengasimilasi penduduk-penduduk minoriti di negara itu, termasuk juga kaum Melayu, melalui sistem pelajaran.

Di bawah Akta Pelajaran baru yang diperkenalkan, semua kanak-kanak yang cukup umur persekolahan diwajibkan belajar di sekolah kerajaan. Keadaan ini telah meletakkan orang-orang Melayu dalam dilema kerana pelajaran kebangsaan Siam dijalankan seiring dengan pengajaran agama Buddha.

Perkara ini telah mendapat tentangan orang-orang Melayu yang merasakan usaha tersebut akan menjadikan anak-anak mereka meninggalkan identiti dan cara hidup mereka sebagai seorang yang berketurunan Melayu dan beragama Islam.

Apabila anak-anak menghabiskan masa mereka mempelajari bahasa Siam di sekolah kerajaan, mereka tidak dapat mempelajari bahasa Melayu yang lazimnya digunakan dalam pembelajaran agama Islam.

Dasar Rathaniyom

Setelah dikuasai oleh kerajaan Siam-Buddha, integrasi budaya dan struktur sosial dalam kehidupan masyarakat Islam Patani telah berlaku sedikit demi sedikit. Sekalipun di selatan Thailand masyarakat Islam masih majoriti, tetapi dalam konteks sebuah negera mereka adalah golongan minoriti.

Dasar Rathaniyom atau Dasar Adat Resam Siam diperkenalkan oleh Perdana Menteri Siam, Phibun Songram yang memerintah Siam di antara tahun 1939 sehingga 1944 dengan harapan untuk mengasimilasikan orang-orang Melayu Muslim kepada budaya masyarakat majoriti Siam-Buddha.

https://twitter.com/mohsinstats/status/1143082864210137088?s=20

Dasar ini berasaskan konsep nasionalisme, kebudayaan Siam dan Agama Buddha. Beliau percaya dengan menjadikan semangat kebangsaan Siam sebagai pegangan hidup orang-orang Siam, rakyat Siam akan bersatu menuju sebuah negara yang baik dari segi politik, sosio-budaya dan ekonomi tanpa mengira bangsa dan etnik.

Penduduk-penduduk Melayu dipaksa untuk menerima adat dan budaya masyarakat majoriti Siam-Buddha untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Bahasa Siam diajarkan di sekolah-sekolah dengan bahasa Melayu tidak diberikan perhatian langsung oleh pemerintah.

Apabila nama negara Siam bertukar menjadi Thailand pada tahun 1939, masyarakat Melayu telah dilabelkan sebagai ‘Thai-Muslim’. Jati diri masyarakat Melayu di selatan Thailand berjaya dihakis sedikit demi sedikit menerusi dasar-dasar yang diperkenalkan.

Baso Nayu

Dari segi penggunaan bahasa, sekalipun bahasa rasmi bagi negara Thailand adalah bahasa Thai namun, penduduk di Selatan Thailand masih banyak yang mahir berbahasa Melayu. Seperti yang kita tahu, bahasa Melayu di nusantara ini kaya dengan dialek atau loghat yang berbeza.

Di selatan Thailand, bahasa Melayu yang digunakan adalah bahasa Yawi (ejaannya adalah ‘Jawi’ tetapi disebut ‘Yawi’) atau lebih dikenali sebagai bahasa Melayu Patani. Bahasa Melayu Patani yang juga dipanggil Baso Nayu atau Kecek Nayu ini digunakan secara meluas di wilayah Narathiwat, Patani dan Yala.

Loghat bahasa Melayu Patani mempunyai persamaan dengan bahasa Melayu Kelatan dan sedikit mempunyai unsur-unsur bahasa Melayu di kawasan pedalaman Kedah iaitu di daerah Baling dan Sik.

Namun bahasa Melayu Patani sedikit sebanyak telah dipengaruhi oleh bahasa Thai berbanding bahasa Melayu Kelantan yang lebih banyak dipengaruhi oleh bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.

Masyarakat Melayu di selatan Thailand masih menjadikan tulisan Jawi sebagai penulisan bahasa Melayu berbanding orang Melayu di Malaysia yang kini lebih selesa dengan penggunaan tulisan Rumi.

Warisan agama

Sekalipun pihak kerajaan Thailand telah pun meletakkan dasar wajib menguasai bahasa Thai melalui pembelajaran di peringkat sekolah rendah bagi semua rakyat terutama generasi baharu, masyarakat Melayu di selatan Thailand masih menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama secara meluas dalam percakapan harian di kampung-kampung Melayu, pasar-pasar dan sekolah-sekolah agama.

Sebahagian urusan perniagaan atau perdagangan di kawasan pekan atau bandar juga kebiasaannya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama untuk berkomunikasi.

Hal ini kerana masyarakat Melayu di selatan Thailand melihat bahasa Melayu ini sebagai bahasa warisan yang mulia di sisi agama Islam. Khutbah Jumaat dan pembelajaran agama Islam di sekolah-sekolah pondok masih menggunakan kitab-kitab yang ditulis menggunakan bahasa Melayu tulisan Jawi.

Penutup

Dengan pelbagai usaha dari pihak kerajaan Thailand dalam memperkenalkan beberapa dasar yang dilihat lebih bersifat mendiskriminasikan masyarakat Islam sejak lebih 100 tahun dahulu, sebahagian umat Islam di selatan Thailand masih cuba untuk memelihara adat, bahasa, budaya dan agama mereka dengan sebaiknya.

Muka bukanlah sesuatu yang pelik untuk melihat Airfan Doloh yang berasal dari selatan Thailand fasih berbahasa Melayu.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN