”Selagi wisel masih bersama pengadil, perlawanan ini masih lagi terbuka. Kita tak boleh memikirkan [kelebihan] tentang aksi di laman sendiri.”
”Dalam bola sepak, macam-macam boleh berlaku. Kita sudah lihat pasukan yang hebat sebagai contoh Barcelona, PSG yang sudah mendahului [tetapi tewas kemudiannya].”
”Yang paling penting kita tidak boleh ambil mudah, kita harus beraksi untuk mencatatkan kemenangan.”
Itulah peringatan daripada pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak yang mahukan anak buahnya terus fokus berdepan aksi kedua bertemu Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) di Stadium Darul Aman, Ahad nanti.
Dalam pada itu, Aidil turut memuji anak buahnya yang bangkit pada separuh masa kedua untuk mencatatkan kemenangan 2-1 di Manjung, malam tadi.
”Syukur Alhamdulillah kita dapat apa yang kami mahukan malam ini. Merupakan satu perlawanan dengan intensiti tinggi, kita lihat PKNP adalah sebuah pasukan yang sangat fizikal serta komitmen yang cukup baik.”
”Mereka memberikan seratus peratus komitmen dan kita tahu sebelum kita datang ke sini, PKNP belum pernah kalah di laman sendiri pada sembilan perlawanan,” ujar Aidil bercakap kepada wartawan dalam sidang media selepas perlawanan.
”Kita telah mempersiapkan mental kerana bukannya mudah. Alhamdulillah para pemain kita memberikan fokus sepenuhnya dan perlu memberikan kredit kepada semua pemain dan barisan kejurulatihan berikutan keputusan ini.”
”Para pemain saya bekerja dengan cukup keras untuk kembali bangkit dari ketinggalan satu jaringan, ia tidak mudah kerana PKNP bertahan dengan cukup baik. Tetapi kita dapat apa yang kita harapkan malam ini, kredit buat para pemain kerana berjaya bangkit pada babak kedua.”
Kredit foto: FA Kedah