Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak mengakui yang kini beliau sudah lebih mengenali kemampuan setiap pemainnya selepas hampir 3 bulan melatih skuad Helang Merah.
Selepas mengharungi enam aksi liga serta tiga aksi persahabatan di Lembah Klang baru-baru ini, Aidil Sharin dapat lebih mengenali pemain-pemain simpanan dan juga pemain muda mereka.
Ini kerana, tiga aksi menentang Negeri Sembilan, UiTM FC dan UKM FC di sekitar Lembah Klang tempohari, Kedah telah memanfaatnya keseluruhan pemainnya untuk turun beraksi.
Selain dapat mengenali lebih baik pemain simpanan dan juga pemain muda, aksi persahabatan tersebut juga adalah persediaan untuk menghadapi Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Jumaat.
Sebagaimana komen pertahanan, Khairul Helmi Johari semalam, barisan kejurulatihan Kedah telah menggiatkan latihan bertahan dan merancang bagaimana untuk menyekat JDT.
Kedah seboleh-bolehnya tidak mahu kalah di tempat sendiri dan mengekalkan rekod tanpa bolos di Darul Aman. Dan pastinya, Aidil Sharin dan barisan pemainnya sudah bersedia.
Selain itu, aksi persahabatan tempohari juga memberikan peluang buat Aidil Sharin melihat kemampuan pemain yang akan menggantikan pemain yang cedera atau digantung perlawanan.
“Kita sedang berusaha untuk memahami kemampuan pemain agar ia tidak merencatkan permainan apabila penggantian atau penggiliran pemain dilakukan.
“Hasil perlawanan persahabatan ini saya berpuas hati dengan aksi mereka,” ujarnya yang dipetik mengulas kepada mStar online.
Menariknya juga, hasil dapatan data juga dapat mengetahui pemain-pemain yang mampu beraksi untuk 90 minit perlawanan dan ia mampu membantunya merencana pasukan.
“Kami di barisan jurulatihan kini telah mengetahui posisi yang mampu diberikan kepada setiap pemain. Malah kita juga kenal pasti mereka yang dapat beraksi sepanjang 90 minit permainan.
“Apa yang dilakukan bukan sahaja untuk memenangi perlawanan dan piala tetapi kita ingin mengubah sikap dan mentaliti pemain supaya mereka lebih bertanggungjawab terhadap tugas sebagai pemain Kedah,” tekad jurulatih berusia 41 tahun itu.
Selepas 6 perlawanan, Kedah berada di kedudukan ketiga liga, 5 mata di belakang pendahulu, JDT dan 3 mata di belakang pasukan kedudukan kedua, Pahang.