Pengendali Kedah, Aidil Sharin tidak mahu terlalu memikirkan kegagalan Kedah memenangi perlawanan menentang PKNS FC. Ini kerana menurut beliau, lawan mereka itu berhak untuk mendapat sesuatu dalam perlawanan ini. PKNS FC telah beraksi dengan sangat baik.
Aidil melihat perlawanan ini dari sudut lain. Beliau memuji komitmen para pemain.
Bercakap kepada media selepas perlawanan, Aidil berkata: “Saya berpuas hati dengan usaha para pemain. Kami tidak berputus asa. Malangnya kami gagal menjaringkan gol. Namun para pemain telah memberikan usaha dan komitmen yang terbaik.”
Ditanya sama ada beliau mengarahkan agar para pemain beliau lebih ofensif pada separuh masa kedua, Aidil menjelaskan: “Ya, sudah tentu, ini perlawanan di tempat sendiri. Sudah pastinya kami akan cuba sedaya upaya untuk menang.”
Aidil memberikan kredit kepada PKNS FC yang telah berjuang bermati-matian untuk tidak dibolosi dan pulang membawa 1 mata.
“Namun begitu, kredit harus diberikan kepada PKNS. Mereka bertahan dengan sangat baik.”
Aidil Sharin menganggap ianya bukan ‘hari’ untuk para pemainnya menjaringkan gol.
“Para pemain saya telah memberikan yang terbaik.Cuma hari ini bukan hari kami dapat menjaringkan gol seperti hari-hari sebelum ini.”
“Inilah bola sepak. Kami perlu berusaha keras lagi. Dan gol itu akan menjelma dalam perlawanan akan datang.”
Selepas ini Kedah akan bermain berhadapan dengan pasukan Pahang.