Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak menyatakan dalam post match reaction di iflix yang kemenangan pada malam ini adalah satu keputusan yang baik buat pasukannya. Beliau juga meluahkan rasa puas hati dengan apa yang telah ditunjukkan oleh pemainnya.
Kedah menang 2-0 ke atas pendatang baharu unifi Liga Super Malaysia (MSL) 2019, PJ City FC di Stadium MBPJ dan meneruskan momentum baik dalam permulaan liga setakat ini – tanpa kalah dalam 4 perlawanan dan turut menambah koleksi cleensheet.
Benteng kukuh
Barisan benteng yang ditunjangi oleh Renan Alves, Shakir Hamzah, Rizal Ghazali dan Alif Yusof serta Ifwat Akmal di gawang berjaya merekodkan cleensheet ketiga dalam empat perlawanan. Kedah hanya bolos satu gol iaitu ketika diikat Perak di Ipoh.
“Yang bagusnya adalah kami tidak melepaskan sebarang gol, kami bertahan dengan baik secara berpasukan dan apa yang sangat penting adalah kami masih kekalkan cleensheet,” ujarnya.
Kedah memiliki benteng pertahanan terbaik setakat ini dengan hanya melepaskan satu gol dalam 4 perlawanan bahkan turut tajam di jentera serangan, menghasilkan 9 gol setakat ini.
Perubahan momentum
Apabila ditanya mengenai asakan yang kian berkurangan selepas Helang Merah mendahului dua gol, Aidil Sharin menjelaskan yang perkara tersebut adalah sesuatu yang normal baginya.
“Bagi saya ia adalah sesuatu yang normal. Apabila kita 2 atau 3 gol di depan, kita tahu lawan pula akan datang menyerang. Bukan tugas mudah mengekalkan rentak sebegitu sepanjang 90 minit.
“Ya, saya tahu kita mampu menjaringkan beberapa gol lagi menerusi Fernando dan yang lain tetapi keseluruhannya saya gembira dengan pemain saya. Mereka telah bekerja keras dan layak untuk meraikan kejayaan ini,” tambahnya lagi.
Tidak mudah
Aidil turut mengulas mengenai pasukan tuan rumah dan keadaan padang apabila ditanya mengenai momentum perlawanan yang sedikit perlahan berbanding perlawanan sebelum ini.
“Bukan mudah untuk datang menentang PJ City. Mereka adalah pasukan yang baik. Paling penting adalah 3 mata.
“Kita tahu dengan keadaan padang seperti ini, ia pastinya tidak mudah (perlawanan ini). Kita sedikit bergelut dengan keadaan padang yang mengganggu pergerakan bola,” ujarnya.
Namun, dia turut memilih untuk memuji anak-anak buahnya atas kejayaan mereka beradaptasi baik dengan keadaan padang seterusnya meraih 3 mata penting pada malam ini.
“Pastinya kita tidak dapat mengekalkan rentak yang sama sepanjang 90 minit. Saya rasa kita bermain bijak pada malam ini, para pemain juga telah melakukan yang terbaik.
“Mereka kekalkan penguasaan bola dengan baik dan juga tahu untuk pressing dan bertahan dengan baik. Ia kemenangan yang baik untuk kami malam ini,” ujarnya menutup bicara.
Selepas 4 perlawanan, Kedah kini berada di puncak liga dengan 10 mata diikuti rapat oleh Pahang, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Melaka United yang bakal turun beraksi pada malam ini.