Kemenangan 3-0 yang diraih oleh Kedah Darul Aman ketika menentang Kelantan United semalam jelas sekali memberikan kegembiraan buat Aidil Sharin.
Jurulatih Kedah itu jelas sekali berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya dalam usaha memberikan mesej jelas yang gergasi dari Utara Malaysia itu serius untuk menjadi juara.
Memetik laporan BERNAMA, walaupun kejayaan berjaya diraih dalam perlawanan pertama tetapi Aidil mahukan fokus diberikan sepenuhnya pada aksi menentang Melaka United pula.
“Bertemu Melaka United bukannya mudah kerana mereka ada pemain yang hebat, tetapi kita beraksi di laman sendiri.”
“Harap pemain dapat kekalkan prestasi terbaik mereka bagi perlawanan seterusnya.”
Kejayaan menewaskan pasukan dari Liga Premier ini dilihat lebih manis kerana Aidil meletakkan beberapa pemain muda dalam skuadnya.
Semalam, Kedah selesa menewaskan Kelantan United dengan jaringan 3-0 hasil sumbangan dua gol Syazwan Zainon dan Tchethe Kipre.
Kemenangan yang diraih meletakkan Kedah berada di kedudukan teratas kumpulan C mengatasi Melaka yang menewaskan Negeri Sembilan di Hang Jebat.