Khairul Helmi Johari mungkin sudah tidak lagi bersama Kedah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2021 tetapi bagi pengendali pasukan, Aidil Sharin Sahak, kewibawaan dan karisma hebat dimiliki bekas ketua pasukannya itu wajar dicontohi barisan pemain pertahanan muda skuad Lang Merah.
Jodoh Khairul Helmi dan pasukan yang disertainya sejak 14 tahun lalu itu berakhir selepas Persatuan Bolasepak Kedah mengumumkan pemain berusia 32 tahun itu tidak akan bersama pasukan pada musim hadapan.
Bekerjasama erat selama dua tahun, Aidil Sharin menilai Khairul Helmi sebagai seorang pemain yang mempunyai sifat kepimpinan tinggi selain turut berperanan sebagai seorang pemain pertahanan kental buat pasukan.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh MyMetro, Aidil mahu pemain muda seperti Lokman Hakim dan Zulkhairi Zulkepli untuk mencontohi sikap positif ditunjukkan Khairul Helmi sepanjang berada dalam pasukan.
“Khairul memiliki aura kepimpinan dan dia buktikan dalam banyak kejayaan lalu bersama Kedah. Sebab itu saya bangga dengannya dan saya harap walaupun tidak akan bersama pasukan untuk musim depan, jasa dan pengorbanannya tetap akan dikenang.”
“Saya dengan ikhlas ingin mengucapkan selamat maju jaya buatnya dan semoga Khairul terus berjaya dalam usaha yang akan dilakukan seterusnya,” ujar Aidil bercakap kepada wartawan MyMetro.
“Saya mengagumi usaha, bakat dan sikap yang ditonjolkannya sebagai pemain pertahanan yang berjasa untuk Kedah dan saya berharap dia akan terus menjadi contoh terbaik buat pemain pertahanan muda seperti Lokman Hakim, Zulkhairi Zulkepli dan ramai lagi.”
“Banyak perkara yang boleh dipelajari dari pengalaman yang dikutip Khairul Helmi sepanjang kariernya bersama Kedah dan pada saya dia umpama pemain pertahanan kebanggaan Itali, Fabio Cannavaro.”
“Dia bijak membaca gerakan lawan dan pemain yang tangkas menghalang serangan berbahaya dalam mempertahankan gawang,” tambah Aidil Sharin lagi.
Kredit featured image: JOHOR Southern Tigers
Baca artikel lain dari kami mengenai Khairul Helmi:
Pengganti Khairul Helmi Dikenal Pasti, Tapi Benteng Kedah Tetap ‘Bergelora’
Khairul Helmi Minta Ridzwan Jangan Sekadar Bercakap, Datang Jumpa Segera
Khairul Helmi: “Tak Penting Saya Ada Atau Tidak Dalam Pasukan”