Kedah berjaya melangkah ke separuh akhir Shopee Piala FA 2019 selepas terikat 1-1 menentang PKNS FC di Stadium Darul Aman lewat malam tadi. Kedah menang dengan agregat 4-2.
Kali terakhir Kedah melangkah ke peringkat separuh akhir adalah pada musim 2017 dan seterusnya berjaya menjulang Piala FA pada edisi tersebut selepas menang 3-2 ke atas Pahang di pentas final. Musim lalu, Kedah terkandas seawal pusingan ketiga.
Untuk musim ini, kesebelasan utama Kedah dibarisi lebih 50% muka baharu termasuklah 5 pemain import baharu dan ini menurut pengendali Kedah, sesuatu yang boleh dibanggakan.
“Jangan kita lupa, kami adalah pasukan baharu. Ya, Kedah adalah pasukan besar, tetapi kami adalah pasukan yang baru lima bulan dikumpulkan dan beraksi bersama,” ungkap Aidil Sharin dalam sidang media sejurus selepas aksi suku akhir malam tadi.
Aidil Sharin sangat bersyukur walaupun baru dibentuk, skuadnya setakat ini berjaya melalui musim ini dengan baik hasil usaha keras dan semangat berpasukan pemain dan barisan kejurulatihan.
“Itu yang menjadikan kami lebih kuat dan kami akan memperbaiki segala kekurangan sebab dalam bola sepak, kita perlu sentiasa belajar,” tambahnya lagi sambil menekankan tidak mudah untuk layak ke separuh akhir dengan majoriti pemain baharu.
Aidil Sharin turut mendedahkan beberapa pemain yang beraksi pada malam tadi sedang dirundung masalah kecederaan namun masih mampu memberikan aksi terbaik biarpun berdepan tekanan untuk melayakkan pasukan ke peringkat seterusnya.
“Saya perlu ucapkan tahniah kepada para pemain. Bukan mudah bermain di bulan puasa dan bukan mudah kerana ramai di antara mereka yang bermain pada malam ini beraksi dalam kecederaan.
“Tetapi mereka tetap berikan segalanya walaupun mengalami kecederaan. Saya tidak boleh salahkan mereka (kerana cedera), saya hanya boleh berikan motivasi dan menghargai mereka,” ujar pengendali muda berusia 42 tahun itu lagi.
Gol Kedah pada malam tadi telah diledak oleh Jonatan Bauman – gol kelimanya berturut-turut dalam semua kejohanan pada musim ini sementara PKNS FC pula memperolehi gol saguhati hasil jaringan sendiri pertahanan kiri Kedah, Azmeer Yusof.
Skuad Helang Merah kini akan menanti pemenang antara Kuala Lumpur dan Felda United yang akan turun beraksi pada malam ini. Dalam aksi pertama tempohari, kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 3-3 di Stadium Kuala Lumpur, Cheras.