Aidil Sharin Hargai Pandangan Penyokong, Tagih Sokongan Padu

Aidil Sharin Sahak Kedah

Kedah akan berkunjung ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu untuk berdepan pendahulu Kumpulan A, Piala Malaysia 2019 bagi aksi minggu ke-5 pada Jumaat ini.

Bukan sesuatu yang mudah untuk kedua-dua pasukan kerana jika dilihat, persaingan dalam kumpulan tersebut masih terbuka dengan Terengganu kini berkira-kira untuk memburu tiga mata penuh terakhir untuk mengesahkan tiket ke suku akhir.

Aksi di Darul Aman pada 8 Ogos lalu menyaksikan Sang Penyu mengejutkan Helang Merah dengan kemenangan 2-0 hasil dua jaringan penyerang kelahiran Ivory Coast, Tchetche Kipre.

Tagih sokongan padu penyokong

Ketika dihubungi Semuanya BOLA, pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak berharap dan terus menagih sokongan padu penyokong bagi menyemarakkan semangat perjuangan skuad kendaliannya berbaki dua perlawanan terakhir di peringkat kumpulan ini.

Kedah akan berdepan Terengganu pada Jumaat dan selepas itu akan menanti kunjungan juara Piala Malaysia edisi 2009 dan 2011, Negeri Sembilan di gelanggang keramat mereka, Darul Aman.

Penyokong Kedah Ultras Kedah
FOTO: Kedah FA

Negeri Sembilan baru sahaja mengejutkan Terengganu FC dalam aksi minggu ke-4 apabila membenam lawannya itu 3-2 di Paroi dan pasti ini bukanlah berita baik untuk PKNS FC dan Kedah.

Oleh itu, aksi terakhir peringkat kumpulan di Darul Aman nanti, Aidil Sharin mengharapkan para penyokong akan turun dengan kekuatan penuh untuk menunjukkan sokongan kepada para pemain dalam misi memburu tiket ke peringkat suku akhir.

“Saya hargai pandangan penyokong”

“Saya hargai pandangan penyokong (mengenai prestasi pasukan). Taktikal di dalam padang, saya tidak perlu ulas di luar,” ujarnya ketika ditanyakan mengenai prestasi pemain utamanya yang adakalanya dilihat kurang menjadi sepanjang musim ini.

Antara yang menjadi tumpuan adalah tonggak import di jentera serangan Kedah, Fernando Rodriguez dan Jonatan Bauman yang sering kali mengundang kritikan panas para penyokong.

Berdepan PKNS FC sebelum aksi Piala Malaysia berehat, Jonatan Bauman telah diberikan peranan sebagai penyerang utama sementara Fernando Rodriguez bermula di bangku simpanan sehingga menimbulkan spekulasi kurang enak mengenai masa depan penyerang kelahiran Sepanyol tersebut.

Jonatan Bauman Kedah PKNS
FOTO: Kedah FA

Baginya, pemilihan pemain tiada kaitan dengan prestasi semasa pemain tersebut dan tidak semua perlawanan seseorang pemain itu akan mempamerkan aksi baik – ada turun dan naiknya.

Kem Kedah sangat positif

“Dua aksi sebelum ini, Fernando (Rodriguez) jaring gol lawan PKNS FC di Shah Alam dan selepas itu (Jonatan) Bauman jaring dua gol di Darul Aman. Bagaimana?” ujar pengendali berusia 42 tahun itu.

Selain itu, Kedah telah merekodkan 37 jaringan untuk saingan Liga Super musim ini – ketiga terbanyak selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan 49 gol dan Selangor dengan 41 gol. Untuk Piala Malaysia, Kedah telah meledak 7 gol – juga antara yang terbanyak.

Dan menurutnya itu sudah cukup menjelaskan bahawa jentera serangan Kedah tidak bermasalah dan kem Kedah kini sangat positif juga bersemangat untuk menempuh dua lagi aksi.

Fernando Rodriguez merupakan penjaring terbanyak buat skuad Helang Merah untuk liga musim ini dengan sembilan gol peribadi.

Pertimbangkan ubah posisi Baddrol Bakhtiar?

Baddrol Bakhtiar Kedah
FOTO: Kedah FA

Ketika diminta mengulas mengenai prestasi Baddrol Bakhtiar yang lebih menyerlah di posisi sayap kanan berbanding posisi tengah bertahan, ini adalah jawapan Aidil Sharin kepada Semuanya BOLA.

“Ya, kita tahu Badd (Baddrol Bakhtiar) pernah main di sayap kanan dan dia bermain baik tapi jangan lupa bila Badd main di tengah pun dia beraksi baik. Dan dia dapat pemain terbaik bulan lepas.

“Kita akan lihat semula selepas rehat ini. Yang positif sekarang pemain dapat bersaing dengan sihat di dalam pasukan,” ujarnya selain turut menyebut pemain-pemain muda seperti Fadzrul Danel, Fayadh Zulkifli dan Hidir Idris yang juga mempamerkan prestasi memberangsangkan sepanjang diberikan peluang beraksi.

Kredit Featured Image: KEDAH FA

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN