Aidil Sharin Harap Kedah Dapat Lakar Kebangkitan Kembali Pada Aksi Seterusnya

Mana-mana pengendali bola sepak pastinya akan kecewa jika pasukannya gagal untuk memberi impak terbaik dalam perlawanan dihadapi serta mencatat keputusan tewas.

Itu yang kini sedang dihadapi oleh Aidil Sharin Sahak selaku pengendali Kedah Darul Aman (KDA), apabila pasukan kendaliannya gagal memberi keputusan positif dalam dua perlawanan berturut-turut termasuk aksi kekalahan semalam di tangan Sri Pahang.

KDA semalam mencatat kekalahan mereka kali yang keenam musim ini dengan menjadi mangsa buat Sri Pahanh di Stadium Darul Makmur.

Kekalahan tersebut jelas mengecewakan pengendali tersebut selain para penyokong pastinya turut merasai perkara sama setelah melihat aksi longlai ditampilkan sepanjang perlawanan.

Menurut Aidil mengenai perlawanan semalam, skuad kendaliannya ada mempamerkan peningkatan di separuh masa kedua namun kebangkitan cuba dilakar jelas tidak mampu untuk menghalang kemaraan lawan.

“Kita turut memiliki peluang untuk menjaringkan gol pada babak kedua perlawanan tetapi gagal melakukannya.

“Sebaliknya, Sri Pahang berjaya menjaringkan dua gol. Bagi saya tanpa beberapa pemain utama menyebabkan KDA tidak dapat beraksi dengan baik.

“Oleh itu saya harap perlawanan selepas ini menyaksikan KDA lebih bersedia untuk memberikan tekanan kepada lawan,” katanya menerusi Berita Harian.

Untuk rekod, kekalahan tersebut merupakan kekalahan kedua berturut-turut dicatat KDA setelah sebelum itu mereka tumpas di tangan Kuala Lumpur City juga di gelanggang lawan.

Untuk memastikan KDA tidak terus bernasib malang, Aidil menggesa kembali kebangkitan para pemain agar motivasi mereka kembali kukuh.

Setakat ini, KDA berada di tangga keenam carta Liga Super 2022 dengan mengutip 17 mata daripada 13 perlawanan dihadapi mereka dan meledak 18 gol keseluruhan selain mencatat jumlah bolos sebanyak 24 gol.

KDA juga bakal menghadapi satu lagi perlawanan yang dianggap sangat penting buat mereka iaitu aksi separuh akhir Piala AFC peringkat zon Asia Tenggara untuk bertemu PSM Makassar pada 9 Ogos ini.

Hanya kemenangan mampu untuk membawa skuad tersebut kembali mendapat keyakinan para penyokong yang jelas sangat kecewa dan meluahkan rasa tidak puas hati setakat ini di media sosial.

Sumber:
Berita Harian

Leave a Reply