Banyak pihak yang membayangkan yang Kedah akan melalui situasi dan nasib yang telah dilalui wakil Malaysia pada pusingan play-off Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019 iaitu Perak.
Pada edisi itu, Perak yang menyingkirkan wakil Hong Kong, Kitchee FC pada pusingan kedua kelayakan telah dibelasah Ulsan Hyundai di Stadium Ulsan Munsu dengan keputusan 5-1.
Perak beraksi baik di babak pertama dengan hanya bolos satu gol menerusi jaringan sendiri bek kanan, Amirul Azhan pada minit ke-23, namun telah dibolosi empat lagi gol kemudiannya.
Banyak pihak menyatakan tahap kebersediaan para pemain Perak yang gagal bertahan untuk beraksi pada tahap sebenar apabila berdepan dengan suhu 3 darjah celsius pada ketika itu.
Di Seoul pada ketika ini pula, suhu yang direkodkan semalam adalah 1 darjah celsius dan untuk Selasa ini, diramalkan suhu ketika perlawanan berlangsung adalah 2 darjah celsius.
Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak yang dihubungi Semuanya BOLA menjelaskan segalanya terletak kepada kekuatan mental para pemain untuk berdepan dengan perkara sebegini.
Memaklumkan yang dirinya pernah melalui situasi sebegini, barisan kejurulatihan Helang Merah kini sedang giat memberi fokus untuk persediaan mental semua pemain yang telah dibawa.
“Segalanya adalah mengenai persediaan mental mereka,” jelas Aidil Sharin ketika ditanyakan tentang bagaimana untuknya membuatkan para pemain berasa selesa dengan keadaan cuaca di sana.
Pengendali berusia 42 tahun itu menekankan yang aksi di kandang lawan juga bukan sentiasanya mudah dan para pemainnya perlu membuang rasa takut terhadap pasukan lawan dalam perlawanan nanti.
“Di ACL ini, semua pemain harus bekerja keras dan tidak perlu berasa takut apabila berdepan pasukan Korea [Selatan] ini. Kita akan cuba buat yang terbaik dan belajar sesuatu,” ulasnya lagi.
“Kita tahu bukan mudah bermain di gelanggang lawan, apa lagi dengan kelab dari Korea [Selatan] yang tahap mereka sangat tinggi di Asia. Kita akan beri 100 peratus,” tambah Aidil Sharin.
Aidil Sharin turut menegaskan kem Kedah akan lebih berhati-hati berdepan penyerang berpengalaman lawan yang pernah beraksi beberapa musim di Eropah iaitu, Park Chu-yong.
Selepas kehilangan Shakir Hamzah dan Azmeer Yusof, Kedah dijangkakan akan kehilangan seorang lagi pemain iaitu penyerang baharu, Kpah Sherman yang khabarnya mengalami masalah visa.
Kredit Foto: Kedah FA