Pengendali Kuching City musim ini iaitu Aidil Sharin Sahak antara yang berpuas hati akan kualiti ditampilkan oleh para pemainnya selepas mereka meneruskan momentum positif tanpa kekalahan berturut-turut di pentas Liga Super.
Untuk saingan musim 2024/2025, Aidil jelas mencipta perubahan begitu ketara buat Kuching City menerusi keputusan positif dihasilkan mereka dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Malah, kemasukan beberapa pemain tempatan serta import pada saingan musim ini menjadikan skuad kendalian Aidil tampil mencipta beberapa kejutan tidak dijangka mana-mana pemerhati bola sepak tempatan.
Keputusan terbaharu menyaksikan Aidil tidak menghadapi masalah untuk menghadiahkan kemenangan seterusnya buat Kuching City menerusi keputusan 1-0 mengatasi cabaran Kelantan Darul Naim (KDN).
Selain gembira akan pencapaian semasa pasukan, Aidil juga terus mengharapkan penyerang berbisa mereka musim ini iaitu Jordan Mintah tampil lebih baik pada masa akan datang.
Apa tidaknya, Mintah tampil selaku peledak tunggal buat kemenangan 1-0 Kuching City sewaktu berdepan cabaran KDN sebelum ini.
Untuk rekod, Jordan merupakan rekrut terbaharu pasukan tersebut musim ini buat Kuching City, selepas beliau tampil sedikit suram pada tahun lalu bersama Terengganu selaku penyerang import.
Statistik semasa menyaksikan Jordan telah pun meledak lima gol daripada 10 penampilan bersama kelab tersebut di pentas domestik selain mencipta satu bantuan jaringan.
Melihat kepada momentum tersebut, Jordan sebenarnya memiliki keupayaan untuk terus melebarkan rekod jaringan beliau pada musim ini sebaris nama-nama besar lain di posisi penyerang.
Walaupun begitu, Aidil tampil memberi nasihat supaya tampil lebih baik dan tidak cepat selesa akan rekod semasa bersama pasukan tersebut musim ini.
“Jordan boleh dianggap sangat bagus, tetapi saya mengharapkan lebih daripada beliau pada siri perlawanan akan datang.
“Beliau perlu memperbaiki dirinya supaya Jordan akan menjadi lebih positif selaku seorang pemain. Dia tidak boleh berehat dan berasa selesa. Jordan juga perlu bekerja dengan lebih keras untuk menjadi bertambah baik,” kata Aidil ketika ditemu bual oleh Semuanya BOLA.
Ketika ditanya mengenai perancangan masa hadapan Kuching City, Aidil menyatakan beliau sedia menambah kekuatan pemain baharu untuk slot tempatan serta import jika diluluskan oleh pengurusan kelab.
Namun, dirinya tampil berahsia mengenai posisi pemain ingin dibawa masuk pada masa hadapan kepada Semuanya BOLA tanpa sebarang klu.
Pandangan anda?