Malam esok adalah pengalaman pertama Liga Malaysia bagi jurulatih dari Singapura, Aidil Sharin Sahak apabila pasukannya dijadualkan menentang PKNP FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung esok.
Skuad Helang Merah terdesak memburu 3 mata penuh bagi memulakan saingan Liga Super musim ini dengan langkah kanan dan Aidil kini berdepan kesukaran untuk memilih 18 pemain terbaik yang akan mengalas cabaran pasukan tersebut.
Katanya dalam Berita Harian, semua pemain Kedah menunjukkan komitmen yang tinggi dan mereka tidak sabar untuk turun beraksi di atas padang.
“Sejak dua hari lalu saya bagaikan tak lena tidur bagi menentukan barisan 18 pemain Kedah yang akan saya pilih untuk menyertai perlawanan sulung ini dan saya akui ini satu tugas yang sukar.
“Pemain muda bersungguh-sungguh mempamerkan prestasi terbaik mereka supaya dipilih dan pada masa yang sama, pemain senior juga menunjukkan aksi terbaik mereka.
“Saya dan pemain begitu teruja dan bersemangat untuk memulakan aksi pada perlawanan pertama seterusnya menggalas cabaran misi memburu tiga mata.
“Ini ‘pening kepala’ yang positif dan saya yakin ia sebagai satu motivasi baik untuk saya dan pasukan dalam menempuh cabaran musim ini,” katanya.
Bekas pengendali Home United ini menegaskan pasukannya cukup bersedia dari segi mental dan kecergasan setelah melalui beberapa perlawanan persahabatan dan persiapan pra musim di Thailand.
Mengulas mengenai pertemuan menentang PKNP FC, Aidil mengakui ia bukanlah satu perlawanan mudah buat pemainnya dan beliau menjangkakan tentangan hebat bakal diberikan pihak lawan.
“Ini bukan satu perlawanan mudah untuk Kedah yang hadir sebagai ‘underdog’ kerana PKNP FC sudah dikenali memiliki pemain muda yang berjiwa kental tambahan pula mereka beraksi di tempat sendiri dalam perlawanan pertama,” katanya.