Quantcast

BERITA

AFF U-18: Skuad Muda Negara Rakam Kemenangan Bergaya 3-0 Tundukkan Australia

Skuad negara meraih kemenangan selesa selepas menumpaskan Australia 3-0 pada aksi keempat kumpulan B saingan Piala Next Media B-18 AFF 2019 di Stadium Thanh Long, Vietnam, sebentar tadi.

Kelebihan yang dimiliki Australia apabila turun selaku pasukan di tangga teratas kumpulan B dengan rekod tiga kemenangan tidak langsung menghadirkan gerun buat pemain muda negara walaupun lawan mempamerkan aksi kemas.

Di sebalik penguasaan permainan yang lebih ditampilkan skuad muda Australia, anak buah Brad Maloney membuktikan penyudah berkesan dan kekentalan jentera pertahanan menjadi tunjang kepada kejayaan meraih tiga mata penuh.

Penyerang lincah negara yang mendapat perhatian kelab Jepun, Luqman Hakim Shamsudin berjaya memisahkan kedua-dua pasukan  pada minit ke-17.

Berpunca hantaran jauh daripada Mohd Nasip Mohammad Zain yang mengelirukan dua pertahanan Australia, Luqman kemudiannya menggunakan meluru pantas ke dalam kawasan penalti lawan dan dengan tenang menewaskan penjaga gol, Jackson Henry Lee.

Berselang sepuluh minit kemudian, Malaysia menambah jaringan menerusi Muhammad Azam Azmi Murad yang melepaskan rembatan separa voli dalam kawasan penalti Australia hasil sepakan percuma diambil Muhammad Firdaus Khaironnisam.

Serangan balas pantas terus menjadi senjata utama buat skuad muda negara sekaligus mengukuhkan kedudukan pada minit ke-39.

Hasil hantaran jauh daripada Muhammad Firdaus yang mencari Luqman Hakim di sebelah kiri pintu gol Australia, penyerang berusia 16 tahun itu dengan tenang melepasi kawalan ketua pasukan, Noah Henry Pagden lalu meledakkan rembatan untuk sekali lagi menembusi gawang yang dikawal Jackson Henry.

Memasuki babak kedua, Australia yang dibimbing Gary Van Egmond berusaha keras untuk sekurang-kurangnya merapatkan kedudukan.

Penjaga gol, Firdaus Irman Mohd Fadhil dan jentera pertahanan negara bagaimanapun kental bagi mengekalkan kelebihan tiga jaringan tersebut hingga wisel penamat ditiupkan Souei Vongkham dari Laos..

Kredit foto: Football Association of Malaysia (Official)