Quantcast

BERITA

AFF Tuntut Kerjasama Rapat Sekretariat ASEAN Untuk Anjur Piala Dunia

Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) melalui Jawatankuasa Piala Dunia badan induk serantau itu menagih kerjasama rapat daripada Sekretariat ASEAN dan rakan kongsi lain untuk merealisasikan kejohanan Piala Dunia FIFA diadakan di rantau ini pada masa akan datang.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth kepada media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan AFF di Kuala Lumpur – seperti yang dilaporkan oleh Bernama dalam satu laporan semalam.

KUALA LUMPUR (18th July 2018) – The Asean Football Federation (AFF) World Cup Committee, which was formed in 2013, is…

Posted by Asean Football Federation on Thursday, July 18, 2019

Menurut beliau, hasrat itu telah mendapat sokongan semua ahli gabungan badan induk itu dan sejak jawatankuasa itu ditubuhkan sejak 2013, pelbagai perkara telah dipertimbangkan untuk memungkingkan negara ASEAN sebagai tuan rumah boleh direalisasikan.

Menurut Khiev Sameth perkara itu dilakukan kerana sedar akan potensi yang dimiliki oleh negara-negara ASEAN untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia.

Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth

“Oleh itu, kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan Sekretariat ASEAN di mana FIFA sebagai badan bola sepak induk dunia telah memberi tanggungjawab kepada semua negara anggota mengenai tuntutan mekanisme pembidaan untuk sebarang kejohanan FIFA,” ujar beliau melalui kenyataan yang dikongsikan oleh AFF semalam.

Sameth juga berkata penganjuran Piala Dunia juga akan memberi manfaat dari segi ekonomi yang mampu memberi pulangan kepada rantau ini – dimana bola sepak merupakan sukan utama kepada majoriti negara ASEAN.

Rantau ASEAN pada hari ini merupakan kuasa ekonomi ketiga terbesar di Asia, dan yang ketujuh terbesar di dunia.

“Lebih penting ia akan memperkukuhkan ikatan dalam kalangan 640 juta penduduk di rantau ini,” katanya lagi.

Dalam perkembangan yang sama, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI), Ratu Tisha Destria berkata pihaknya tidak sabar untuk meletakkan asas yang kukuh untuk hasrat ASEAN diberi peluang menjadi tuan rumah Piala Dunia.

Menurut beliau, Indonesia adalah negara pertama dari kalangan negara ASEAN yang mencetuskan hasrat untuk bergelar tuan rumah Piala Dunia bersama beberapa negara jiran yang lain.

“Jadi kami bangga idea ini mendapat perhatian peringkat kerajaan dan kini kita mempunyai peluang untuk membawa idea ini ke hadapan dengan AFF memainkan peranan penting dalam meletakkan pembidaan yang bersepadu,” katanya seperti yang dipetik daripada Bernama.

Sumber: AFF

Thailand pula kini sedang mempertimbangkan untuk memperbaiki infrastruktur dan kemudahan sedia ada selepas mendapat sokongan kerajaan untuk membida penganjuran Piala Dunia.

Sebuah stadium baharu berhampiran Lapangan Terbang Suvarnabhumi turut dikatakan didalam perancangan.

Sebelum ini 10 negara anggota ASEAN telah mencapai kata sepakat untuk bekerjasama bagi membida sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi ASEAN, Jen Prayuth Chan o-Cha pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 di Bangkok pada bulan lalu.