AFF B-23:’Seperti Skuad Senior’ – Skuad Brad Maloney Berisiko Bungkus Awal

Kurang kreativiti, tumpul, ada kalanya hambar. Itu antara gambaran corak permainan yang ditampilkan Skuad Brad Maloney selepas dikejutkan Laos 1-2 sebentar tadi di Stadium Prince, Phnom Penh.

Awal permainan menyaksikan Laos berjaya memberi tekanan buat Malaysia dengan beberapa siri serangan dicipta namun barisan pemain pertahanan negara bijak menyerap segala asakan selain penjaga gol, Sikh Izhan yang dilihat bersedia dengan segala kemungkinan lawan.

Azfar Fikri berjaya membuat percubaan pertama negara dengan satu sentuhan sahaja dari luar petak penalti namun bola sekadar terkena palang menerusi serangan balas pada minit ke-5 perlawanan.

Sepanjang 15 minit perlawanan, skuad negara dilihat agak sukar untuk menyusun sebarang gerakan yang lebih terancang selain Laos yang lebih selesa mengawal bola dan lebih pantas untuk menyusup melepasi para pemain pertahanan Malaysia.

Minit ke-18 Tasnim Fitri mendapat ruang dari sebelah kiri untuk membuat percubaan, namun sepakan leret beliau agak lemah dan tepat menuju kearah penjaga gol Laos.

Malaysia hadir dengan beberapa gerakan yang baik untuk menembusi pertahanan lawan, namun kreativiti serangan setakat ini masih terbatas selain persefahaman sesama sendiri yang agak lemah.

Permainan agak seimbang setakat ini dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan kedudukan lebih banyak berlegar di tengah padang setakat 40 minit perlawanan berlangsung.

Azfar selaku penyerang utama skuad negara setakat ini mempunyai beberapa peluang terbuka untuk beliau meledak gol pertama Malaysia, namun masih lagi menemui jalan buntu untuk pemain ini mencipta sesuatu yang positif.

Pada penghujung separuh masa pertama, pemain negara, Selvan berjaya meledak gol pertama perlawanan pada minit terakhir separuh masa pertama hasil sepakan sudut di sebelah kanan yang mudah disudahkan pemain ini setelah tidak mendapat kawalan rapi oleh pertahanan Laos.

Sebelum itu, pemain ini juga mendapat peluang terbaik untuk meledak gol namun rembatan beliau berjaya dihadang oleh penjaga gol Laos untuk memberi sepakan sudut buat Malaysia yang menyumbang gol pertama tersebut.

Di awal separuh masa kedua, Laos terus memberi tekanan tinggi buat skuad negara dengan beberapa siri percubaan yang hampir memberi gol penyamaan sebelum kembali ditenangkan oleh barisan pertahanan yang berdisiplin.

Selvan hampir menambah gol kedua pada minit ke-52 namun tandukan beliau sedikit tersasar melepasi gawang gol setelah menerima umpanan cantik daripada Tasnim dari sebelah kiri.

Tasnim sekali lagi mencemaskan gawang gol Laos dengan satu percubaan berjaya dilepaskan hasil hantaran Shivan Pillay dari luar petak penalti namun rembatan dari sebelah kiri itu sedikit tersasar keluar.

Laos berjaya menyamakan kedudukan apabila serangan balas pantas yang dibuat mereka berjaya memerangkap pertahanan negara untuk menewaskan Sikh Izhan menerusi tonggak, Bounpachan pada minit ke-56.

Momentum permainan terus meningkat untuk kedua pasukan dengan masing-masing cuba untuk menambah gol kedua bagi menjarakkan kembali kedudukan.

Bounpachan berjaya mengelirukan pertahanan lawan dengan gerakan liciknya sebelum satu rembatan dilepaskan pemain ini yang pantas ditangkap oleh Sikh Izhan yang tidak rela lagi dibolosi pada minit ke-62.

70 minit permainan berlangsung menyaksikan Malaysia masih belum dapat menambah jaringan kedua permainan selain beberapa aksi kekasaran yang merencatkan sedikit corak permainan skuad negara untuk bermain dengan lebih baik.

Laos sekali lagi mengejutkan kem negara dengan gol kedua berjaya diledak pada minit ke-79 menerusi hantaran Bounpachan dari sebelah kanan yang disudahkan oleh Phetdavhan untuk terus mengecewakan kem kebangsaan yang serba longlai.

Beberapa pertukaran pemain yang dibuat juga masih belum dapat meninggalkan impak dalam permainan Malaysia selain Laos yang semakin yakin mengawal permainan dan menyerap asakan skuad negara.

Lebih tertekan, Laos juga dilihat cuba melengahkan permainan yang semakin menyukarkan skuad kebangsaan untuk mencari kembali gol penyamaan sekurangnya sebelum membuat perhitungan kembali pada perlawanan akan datang.

Malaysia bakal sekali lagi bertemu Laos pada perlawanan kedua peringkat kumpulan pada 21 haribulan ini sebagai perhitungan akhir sebelum menentukan siapa yang layak ke separuh akhir.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN