Malaysia berhadapan dengan Kemboja dalam perlawanan pembukaan Piala AFF B-22. Harimau Muda bermula dengan langkah kiri dalam aksi pembukaan.
Dari wisel permulaan lagi Kemboja menunjukkan aksi yang penuh dengan tenaga. Mereka memberikan masalah kepada Malaysia kerana stamina yang sangat tinggi.
Malaysia bergelut dengan kreativiti di kawasan serangan membuatkan Kemboja semakin lama semakin mendapat keyakinan di dalam perlawanan ini.
Minit ke-36, Narong Kakada mendapat ‘free header’ namun tersasar. Separuh masa pertama Kemboja lebih kreatif dan mencipta lebih banyak peluang.
Nik Akif dibawa masuk pada minit ke-56 menggantukan Izzan Syahmi yang mengalami kecederaan.
Pada minit ke-58, Kemboja membuatkan pintu gol Malaysia cemas. Mujurlah pertahanan negara dapat mengeluarkan bola.
Seminit kemudian Muhamad Danial Haqim melakukan cabaran dengan kaki tinggi. Beliau dibuang padang kerana kad kuning ke-2. Mujur pengadil tidak melayangkan ‘straight red’.
Daripada titik itulah sepakan percuma diambil oleh Sath Rosib untuk menjaringkan gol menerusi sepakan percuma dari jarak jauh. Menurut analisis Richard Scully, satu langkah kecil ke hadapan oleh Haziq memberikan impak kepada tewasnya beliau dalam keadaan itu.
Selepas sunyi dan ‘hilang’ sepanjang malam, pada minit ke-67 – Jafri Chew melakukan percubaan dari luar kotak penalti yang ditepis penjaga gol Kemboja, Hadi Fayyadh hampir menjaringkan gol daripada tindakan susulan, namun penjaga gol melakukan satu ‘save’.
Malaysia gagal memberikan respon yang lebih baik untuk mencari gol penyamaan. Kemboja tampil dengan beberapa siri serangan namun tidak cukup tajamdi hadapan gol.
Pada masa kecederaan Hadi Fayyadh menanduk bola hasil situasi bola mati, namun tersasar. Tidak lama selepas itu berlaku kekecohan di kawasan teknikal pasukan Malaysia. Datuk Ong Kim Swee tidak berpuas hati dengan pengadilan. Beberapa pemain Kemboja dan Malaysia dilayangkan kad kuning.
Perlawanan tamat memihak kepada Kemboja dengan kemenangan 1-0.
Selepas ini Malaysia akan berhadapan dengan Indonesia dan diikuti oleh Myanmar. Dalam satu lagi aksi lebih awal, Myanmar dan Indonesia terikat 1-1.