Menjelang aksi perlawanan akhir kejohanan AFF B-18 2019 menentang Australia malam ini di Stadium Thong Nhat, Vietnam, timbul persoalan penjaga gol manakah yang akan jadi pilihan jurulatih, Brad Maloney, untuk ditugaskan menjadi benteng terakhir skuad muda negara.
Penjaga gol utama, Firdaus Irman Mohd Fadhil beraksi dalam semua perlawanan peringkat kumpulan.
Namun kesilapan yang dilakukannya pemain PKNP FC itu dalam perlawanan terakhir Kumpulan B semasa bertemu Thailand tempoh hari mengakibatkan pasukan negara tewas 1-0 dan berisiko untuk tersingkir dari kejohanan.
Malaysia bernasib baik dan perlu berterima kasih kepada pasukan Kemboja yang menjadi penyelamat setelah membuat kejutan menumbangkan pasukan tuan rumah, Vietnam dengan keputusan 2-1.
Enggan perkara ini mengganggu tumpuan pemainnya, Maloney dalam temubualnya bersama wartawan Berita Harian memaklumkan ketiga-tiga penjaga gol berpeluang untuk dipilih bagi aksi final nanti.
Dalam masa sama, beliau juga menjelaskan tindakan merehatkan Firdaus dalam perlawanan tempoh hari bukanlah bertujuan untuk menghukum, tetapi ianya adalah keputusan yang dibuat hasil perbincangan dan persetujuan bersama barisan kejurulatihan.
Selepas Firdaus teruk dihentam dan dikritik pelbagai pihak terutama di media sosial, perlawanan separuh akhir menentang Indonesia tempoh hari menyaksikan penjaga gol simpanan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman diberi tanggungjawab menjaga gawang negara.
Tetapi prestasi penjaga gol itu dalam perlawanan tersebut dilihat tidak begitu memuaskan kerana melepaskan tiga gol. Mujurlah dua gol jaringan Harith Haiqal di minit akhir masa permainan sebenar dan masa tambahan telah menyelamatkan keadaan.
Bagaimana pula pendapat peminat bola sepak di luar sana. Siapakah pilihan anda? Siapakah yang wajar diturunkan untuk membarisi kesebelasan utama pasukan negara menentang Australia pada malam ini?
Kredit Foto hadapan: NFDP