Jaringan tunggal Lachlan Ricky Brook sudah cukup untuk menghampakan skuad bawah 18 tahun (B-18) negara untuk menjulang trofi Piala Next Media B-18 AFF 2019 selepas kecundang 0-1 ditangan Australia pada perlawanan akhir di Thong Nhat Stadium, sebentar tadi.
Malaysia yang menyandarkan harapan kepada Luqman Hakim Shamsudin bagi memburu jaringan gagal menjelmakan aksi yang diharapkan pada separuh masa pertama.
Hanya ledakan dari jarak jauh yang diledakkan Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan pada minit ke-17 sedikit mengancam kubu Australia. Rembatan tersebut bagaimanapun mudah ditangkap kemas penjaga gol, Kai James Calderbank-Park.
Memasuki babak kedua, aksi bertambah menarik dengan Malaysia turut berusaha mengancam kubu Australia terutamanya dari sebelah sayap kanan.
Penjaga gol negara, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman bertindak cemerlang menepis percubaan cantik hasil sepakan percuma dilepaskan Dylan Enrique Ruiz-Diaz pada minit ke-49.
Luqman Hakim nyata menjadi ancaman terbesar buat Australia susulan kelincahannya yang seringkali berjaya melepasi kawalan pertahanan lawan.
Muhammad Firdaus Kaironnisam hampir membuatkan penyokong negara melonjak kegembiraan apabila rembatannya dari luar kawasan penalti sekadar singgah di palang gol ketika Kai James sudahpun tertewas pada minit ke-59.
Berselang sepuluh minit kemudian, Kai James terus bertindak cemerlang setelah menepis percubaan daripada Luqman Hakim dari sebelah kiri pintu golnya.
Sedar ancaman yang semakin giat dihadirkan skuad Brad Maloney, Australia kembali memperkemaskan aksi dengan percubaan Lachlan Ricky Brook yang sedikit tersasar di minit ke-74.
Kehampaan itu ditebus Brook lima minit kemudian apabila beliau yang menerima lorongan baik daripada Louis Joseph D’Arrigo berjaya menewaskan penjaga gol gantian, Firdaus Irman Mohd Fadhil.
Tersentak dengan jaringan itu, pemain negara berusaha untuk mencari jaringan penyamaan tetapi ia tidak mampu untuk menghalang Australia daripada menjulang trofi edisi kali ini.
Kredit foto: Football Association of Malaysia (Official)