Quantcast

BERITA

AFF B-15: Malaysia Mara Ke Perlawanan Akhir Selepas Bangkit Benam Vietnam 3-1 (Highlight & Laporan)

Skuad Bawah-15 tahun negara kendalian P. Maniam menempah tiket ke perlawanan akhir selepas menewaskan Vietnam 3-1 di separuh akhir Kejohanan AFF Bawah 15 sebentar tadi.

Pasukan negara bagaimanapun terlebih dahulu dikejutkan oleh jaringan pendahuluan Vietnam pada minit ke-9 perlawanan melalui jaringan Pham Van Phong – setelah pemain itu berjaya melepasi kawalan pemain pertahanan negara sebelum merembat menewaskan penjaga gol negara di near post.

Tidak menunggu lama, skuad kendalian P.Maniam terus mengasak kubu lawan dan berjaya menjaringkan gol penyamaan melalui rembatan kaki kanan Muhammad Nabil Qayyum pada minit ke-14.

Kedudukan babak pertama perlawanan kekal terikat 1-1. Kembali pada babak kedua perlawanan, pasukan negara bermain lebih tersusun dengan gerakan-gerakan menarik untuk menembusi benteng Vietnam yang kompak.

Nabil sekali lagi menjadi duri dalam daging buat skuad Naga Emas apabila melepasi terjahan beberapa pemain pertahanan Vietnam secara solo sebelum menolak masuk menewaskan penjaga gol Vietnam untuk Malaysia mendahului 2-1.

Jaringan tersebut ternyata memberikan keyakinan buat pasukan muda negara yang terus menguasai perlawanan, membina gerakan dari bahagian bawah dan hantaran-hantaran menarik dari bahagian pertahanan untuk mengancam kubu pertahanan lawan.

Virtnam pula sekali sekala cuba mengancam dari hantaran-hantaran lintang tinggi, namun berjaya dipatahkan barisan pertahanan negara, atau diselamatkan penjaga gol.

Perjuangan Vietnam untuk mencari gol penyamaan bagaimanapun ternoktak selepas Malaysia memperolehi gol ketiga perlawanan melalui rembatan kencang Muhammad Aliff Izwan, dua minit sebelum perlawanan tamat dari sebelah kiri serangan.

Malaysia menang 3-1 dan akan menanti sama ada Thailand atau pun Indonesia di perlawanan akhir.