Isu limpahan penyokong sehingga melebihi kapasiti di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) ketika perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 membabitkan pasukan Malaysia dan Vietnam akhirnya mendapat perhatian Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).
Dalam perlawanan yang diadakan pada 11 Disember lalu, lebih dari 100,000 penyokong dilaporkan hadir menyaksikan perlawanan tersebut – melebihi kapasiti stadium sehingga menyaksikan setiap penjuru termasuk kaki lima dan tangga stadium turut dilimpahi penyokong.
Siasat selepas final
Siasatan lanjut mengenai kejadian di SNBJ disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung AFF, Datuk Seri Azzuddin Ahmad ketika bercakap kepada Bernama sebelum mesyuarat pengurus pasukan di Ibu pejabat Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF) semalam.
“AFF akan berhubung dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mendapat maklumat terperinci bagaimana jumlah penonton yang hadir menyaksikan perlawanan di SNBJ yang dilihat melebihi daripada kapasiti yang sepatutnya,” ujar beliau.
“Buat masa ini pihak AFF ingin mencari punca apa yang sebenarnya yang berlaku dahulu sebelum membuat komen yang selanjutnya,”
Datuk Seri Azzudin berkata siasatan akan dimulakan sebaik sahaja beliau kembali ke Kuala Lumpur setelah tamat perlawanan akhir kedua yang berlangsung di Hanoi pada hari ini.
Isu keselamatan
Kedatangan rasmi yang diumumkan di stadium pada perlawanan tersebut ialah 88,482 penonton.
Semakan yang dilakukan melalui laman sesawang Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) pula mengesahkan kapasiti sebenar Stadium Nasional Bukit Jalil ialah 85,000 tempat duduk.
Masalah limpahan penyokong turut mendapat liputan media Vietnam – bukan sahaja menjejaskan nama baik negara sebagai penganjur, tetapi turut menyebabkan isu keselamatan turut dipersoalkan.